AHMAD Taufek

Langkawi (Bernama): TM ONE, cabang penyelesaian perniagaan sektor perusahaan dan awam Telekom Malaysia Bhd (TM) dan FNS Value Co Limited (FNSV) dari Korea menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk melantik TM ONE sebagai pengedar tunggal produk dan penyelesaian Pengesahan Selamat Blockchain (BSA) FNSV untuk Malaysia dan sebagai rakan strategik untuk rantau Asean.

FNSV menawarkan penyelesaian pertama yang dipatenkan di dunia berdasarkan teknologi blockchain yang tidak memerlukan kata laluan untuk pengesahan, mudah digunakan, amat selamat dan hampir tidak dapat ditembusi.

Di bawah kerjasama itu, TM ONE dan FNSV akan bekerjasama dalam pembangunan teknologi dan perniagaan untuk penyelesaian BSA berdasarkan Guardian-CCS 1.0 (G-CCS 1.0) FNSV bagi Malaysia, Asean dan pasaran lain yang berpotensi di web, mudah alih, Internet Kebendaan (IoT), generasi kelima (5G) dan semua jenis pengesahan sederhana yang lain serta perkhidmatan pensijilan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, kerjasama antara dua penggiat nasional itu akan membawa perkhidmatan keselamatan yang maju untuk Malaysia dan pasaran Asean.

“Kerjasama ini adalah baik berikutan sebahagian daripada impian TM ONE untuk menjadi penyedia penyelesaian yang lengkap, dan kami boleh menggunakan keselamatan FNSV sebagai antara parameter utama yang akan ditawarkan kepada perusahaan dan sektor awam.

“Oleh itu, kami dapat menangani keperluan pelanggan daripada tahap akses hingga tahap keselamatan rangkaian.

“Dengan pengenalan BSA, kami yakin ini adalah penyelesaian terbaik yang kami uji di peringkat dalaman dan kami akan menggunakannya tidak lama lagi,” katanya.

Ahmad Taufek berkata, TM ONE turut mengenal pasti dan mengemukakan BSA FNSV kepada beberapa pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:20 AM