TESCO memperjuangkan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk pelanggan.

TESCO Malaysia melalui produk di bawah jenama Tesco, Tesco Own Brand (TOB) kini menawarkan lebih 400 produk berjenama Tesco di Shopee dengan purata harga 10 peratus lebih murah berbanding jenama terkemuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie dalam kenyataan berkata, dalam memperjuangkan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk pelanggan, harga rangkaian produk TOB adalah lebih murah dengan kira-kira 80 peratus dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Sebagai contoh, kopi 3-dalam-1 Tesco ditawarkan pada harga hanya RM7.99 yang terdapat dalam tiga jenis telah meningkat dari segi populariti jika dibandingkan dengan jenama kopi segera terkemuka lain.

“Selain itu, Tesco Teh Tarik dan Tesco Choco Malt turut menjadi kegemaran pelanggan.

“Malah, sabun pencuci pakaian Tesco yang berharga serendah RM18.99 turut membantu banyak isi rumah Malaysia menguruskan perbelanjaan keperluan isi rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, selain keperluan dapur, rangkaian produk bayi Tesco, iaitu Fred & Flo terus menjadi antara produk terlaris di kedai rasmi Shopee kerana nilai, keselesaan dan kualiti yang ditawarkan.

“Produk Fred & Flo, termasuklah lampin, losyen, dan kain lap bayi, semuanya direka bentuk untuk memenuhi piawaian dari United Kingdom, di samping dihasilkan di Malaysia untuk memastikan harga jualan berpatutan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, pada 2013, Tesco menjadi peruncit pertama di Malaysia untuk melancarkan penghantaran atas talian sendiri melalui Tesco Online, yang telah menunjukkan pertumbuhan ketara selama ini.

“Kerjasama kami dengan Shopee pula membolehkan kami memperluas penembusan atas talian kami dan menjangkau lebih banyak pelanggan atas talian di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak di mana tiada cawangan Tesco di sana.

“Kami komited pada perkongsian strategik jangka panjang dengan Shopee dan lebih banyak inisiatif akan dirancang selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:20 AM