DR Sahruddin (tengah) bersama penerima sijil dan anugerah Ecer Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, semalam.
DR Sahruddin (tengah) bersama penerima sijil dan anugerah Ecer Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, semalam.
HMBisnes

Lebih 100,000 individu termasuk 95 peratus golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat menerusi penganjuran pelbagai program pembangunan modal insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) sejak ia diperkenalkan pada 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat berkata, daripada golongan B40 itu, 70 peratus belia dan wanita yang mencerminkan pendekatan inklusif ECERDC bagi memperkasa rakyat.

“Kami sentiasa komited meningkatkan kesejahteraan peserta Ecer menerusi projek dan program ECERDC. Malah, pencapaian mereka ini menyemarakkan semangat kami meneruskan program pembangunan modal insan berimpak tinggi.

“Justeru, kami akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi melaksanakan program pembangunan modal insan selaras Pelan Induk Ecer 2.0 (EMP 2.0) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya pada Majlis Konvokesyen dan Anugerah Usahawan Empower Ecer Mersing di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Endau Alwiyah Talib.

Mengulas lanjut, Baidzawi berkata, Ecer dalam fasa lonjakan seterusnya menerusi pelaksanaan EMP 2.0 bagi mentransformasi wilayah ini menjadi ekonomi yang dipacu produktiviti dan bernilai tinggi menjelang 2025.

“Bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi di daerah ini, program pembangunan modal insan ECERDC dirangka khusus bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi di Mersing untuk masyarakat.

“Inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah semula jadi diteruskan melalui konsep ekopelancongan Hutan Hujan ke Terumbu Karang (R2R) Ecer selain pembangunan Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan pembangunan Pelancongan Kampungstay Air Papan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 9:17 PM