CELCOM Mega menawarkan pelan mudah alih berpatutan berdasarkan keperluan pengguna. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Suraya Roslan


CELCOM Axiata Bhd melancarkan pelan pascabayar inovatif terbaharu dikenali sebagai Mega, pada harga RM80 sebulan.

Mega adalah pelan pascabayar pertama di Malaysia menawarkan pengguna fleksibiliti memilih internet berdasarkan penggunaan data sama ada akses kuota tanpa had atau kelajuan terpantas.

Pelan ini juga menawarkan ganjaran tunai dengan menukar kuota internet yang tidak digunakan kepada e-dompet Boost dengan 10GB bersamaan RM5.

Menerusi pelan baharu yang ditawarkan pada harga RM80 sebulan, pengguna bakal menikmati panggilan tanpa had ke semua rangkaian serta memiliki kebebasan memilih ‘add-ons’ sama ada internet mudah alih tanpa had atau menu ‘ala carte’ internet mudah alih berkelajuan tinggi serta kongsi pelan dengan ahli keluarga.

Ketua Pegawai Produk dan Inovasi Celcom Axiata, Roy Ong berkata, Celcom Mega menawarkan pelanggan pelan mudah alih berpatutan berdasarkan keperluan penggunaan internet di rangkaian terluas di Malaysia.

“Pengalaman internet adalah unik kepada setiap individu dan dengan pelan pascabayar Celcom Mega terkini yang inovatif, rakyat Malaysia kini boleh menyesuaikannya dengan gaya hidup dan pengalaman digital mereka sendiri.

“Mereka yang mahu melayari internet tanpa sebarang kebimbangan, boleh memilih pelan internet tanpa had untuk pengalaman tanpa henti, penstriman sepanjang masa, permainan dalam talian atau melayari internet dengan kelajuan tinggi,” katanya pada pelancaran pelan berkenaan di Petaling Jaya, hari ini.

Roy berkata, pelanggan yang mahukan internet berkelajuan pantas dan optimum boleh memilih pelan Internet Mudah Alih Berkelajuan Tinggi.

“Pelanggan bebas menggunakan kuota internet mereka ketika melancong ke luar negeri (melalui ciri Roam Like Home) dan menukar kuota internet tidak digunakan kepada ganjaran tunai.

“Perayauan percuma turut ditawarkan di 12 negara di Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal,” katanya.

Pelan pascabayar terbaharu ini boleh dinikmati bermula hari ini selama dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:40 PM