AZLIZA.
Tesco

MENYEDARI penyebaran virus yang melanda di seluruh dunia, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) bekerjasama dengan pengeluar sabun anti bakteria, Lifebuoy mengambil inisiatif memberi sumbangan cecair pencuci tangan kepada lebih 63 Sekolah Angkat Tesco di seluruh negara.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel berkata, pihaknya percaya program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijalankan mampu memberi kesan positif terhadap komuniti.

“Oleh itu, dengan kerjasama Lifebuoy ini, sebanyak 190 karton cecair pencuci tangan yang ditaja sepenuhnya disumbangkan kepada 63 sekolah angkat di seluruh negara.

“Pada masa sama, kita turut beri pendedahan teknik bagaimana mencuci tangan dengan betul untuk memastikan kanak-kanak ini dapat mengekalkan kebersihan, sekali gus menghindari daripada terkena penyakit,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencadangkan supaya langkah pencegahan awal diambil termasuk sentiasa membersihkan tangan dengan sabun dan air untuk mengelakkan terkena wabak penyakit.

Diasaskan oleh Pintar Foundation, Program Sekolah Angkat ini adalah program perkongsian bersama pihak korporat untuk menjadikan sekolah terpilih sebagai sekolah angkat bagi meningkatkan dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajar.

Tesco mula menjalinkan kerjasama dengan Pintar Foundation pada 2016 dan kini mempunyai sebanyak 63 sekolah angkat dengan manfaat kepada seramai 57,000 pelajar.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever Malaysia, Jay Go berkata, salah satu produk yang dikeluarkan adalah Lifebuoy yang bertujuan menjaga kesihatan dan kebersihan dalam kalangan pengguna.

“Melalui kerjasama dengan Tesco, kami dapat membantu masyarakat dengan produk yang sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 2, Mohd Faisal Mohd Salih bersyukur dengan sumbangan yang diberikan Tesco dan Lifebuoy dalam usaha membanteras penularan wabak.

“Saya bersyukur apabila sekolah saya terpilih menjadi sebahagian Program Sekolah Angkat, sekali gus memberi manfaat kepada murid. Pelbagai program kepenggunaan dianjurkan termasuk Junior Smart Shopper dan program Beg Terus Senyum yang mmembantu pelajar kurang bernasib baik memperoleh keperluan persekolahan.

“Melalui Tesco, Lifebuoy dapat menyediakan cecair pencuci tangan untuk memastikan murid selamat dan sihat. Saya berharap lebih banyak pihak korporat dapat tampil ke hadapan membantu murid memerlukan,” katanya.

Lifebuoy sudah mula menghantar kelengkapan mencuci tangan di sebuah sekolah angkat Tesco di Lembah Klang dan bermula 10 Februari ini, ia akan dihantar ke seluruh negara.

Lifebuoy akan mengadakan lebih banyak bengkel mencuci tangan di sekolah angkat Tesco terpilih dalam masa terdekat untuk memberi kesedaran kepentingan mencuci tangan dalam kalangan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:45 AM