ARANOLS (tengah) bersama kakitangan Nestle ketika pelancaran Peraduan Nestle Gaji Seumur Hidup, semalam.
Rosyahaida Abdullah

GAJI bulanan RM3,000 sepanjang hayat menanti dua pemenang bertuah Peraduan Nestle Gaji Seumur Hidup yang dilancarkan Nestle Malaysia.

Menerusi peraduan terbabit, orang ramai hanya perlu membelanjakan minimum RM15 dalam satu resit bagi pembelian produk Nestle untuk melayakkan mereka menyertai peraduan itu yang bermula pada 14 Februari sehingga 30 April depan.

Pengurus Pembangunan Kategori Nestle Malaysia, Chong Yin May berkata, hadiah utama berupa ‘gaji untuk seumur hidup’ itu ditawarkan kepada dua pemenang yang masing-masing bakal menerima RM3,000 setiap bulan untuk tempoh maksimum sehingga 35 tahun.

Terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, jelas Chong, dua pemenang hadiah utama turut menerima wang tunai RM500,000 sebaik tempoh 35 tahun pembayaran gaji terbabit tamat.

“Selain dua hadiah utama ini, peraduan menawarkan hadiah sagu hati kepada 10 pemenang berupa gaji untuk satu tahun juga sebanyak RM3,000 setiap bulan.

“Wang tunai RM500 juga diberikan kepada 50 pemenang setiap minggu sepanjang 11 minggu peraduan berlangsung.

“Dalam peraduan ini, pengguna layak menerima maksimum dua hadiah jadi pemenang hadiah mingguan masih berpeluang memenangi hadiah utama.

“Bagi memudahkan penyertaan, pengguna tidak perlu mengasingkan resit kerana jika anda membelanjakan RM30 untuk produk Nestle dalam satu resit misalnya, anda sudah automatik layak mengemukakan dua penyertaan.

“Lebih mudah, pengguna hanya perlu jawab satu soalan ringkas dan penyertaan boleh terus dilakukan sama ada secara pos atau melalui WhatsApp.

“Lebih banyak anda berbelanja, lebih banyak penyertaan yang layak anda kemukakan, lebih tinggi peluang untuk menang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan peraduan berkenaan di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols.

Sementara itu, Aranols berkata, peraduan itu sebahagian inisiatif pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan kepada Nestle.

Jelas beliau, peraduan itu disifatkan sebagai yang terbesar di Malaysia membabitkan hadiah keseluruhan lebih RM4 juta dan pihaknya menyediakan peluang semudah mungkin untuk pelanggan memenangi hadiah dengan hanya melakukan pembelian produk Nestle kegemaran mereka.

“Peraduan seumpama ini dilaksanakan di negara asal saya, Sepanyol dan ia memberi manfaat kepada pemenangnya.

“Semestinya, manfaat sama bakal dinikmati lebih 560 pemenang di Malaysia menerusi peraduan ini,” katanya.

Pelanggan Nestle boleh memilih untuk membeli lebih 300 produk daripada 25 jenama Nestle dan menghantar seberapa banyak penyertaaan yang diingini.

Peruncit yang mengambil bahagian termasuk pasar mini utama, pasar raya, pasar raya hiper, kedai stesen minyak dan kedai serbaneka di seluruh negara selain platform e-dagang seperti Lazada dan Shopee yang mengeluarkan resit rasmi sebagai bukti pembelian.

Pengguna juga layak mengemukakan penyertaan apabila membeli set Milo Makan Kombo di Mcdonald’s bernilai RM19.90.

Pemenang hadiah utama diumumkan pada penghujung Mac dan awal Jun depan manakala pemenang bagi hadiah lain diumum setiap minggu di laman sesawang Nestle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:00 AM