GOKHAN Ogut. FOTO Nurul Shafina Jemenon
GOKHAN Ogut. FOTO Nurul Shafina Jemenon

MAXIS Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi operasi kukuh pada suku keempat berakhir 31 Disember 2019 didorong oleh pertumbuhan pascabayar yang mantap, purata hasil setiap pengguna (ARPU) mudah alih yang stabil serta pertumbuhan konsisten dalam langganan fiber bagi Pengguna dan Perusahaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gökhan Ogut berkata, pada tempoh berkenaan, Maxis menunjukkan kepemimpinan berterusan dalam pascabayar dengan ARPU bulanan yang tinggi dan peningkatan pelanggan pascabayar sebanyak 140,000 yang membawa peningkatan jumlah keseluruhan kepada 432,000 bagi tahun ini.

“Ia didorong daya tarikan positif pelan Hotlink Postpaid Flex dan MaxisONE. Pelan bebas bimbang ini diperkuatkan oleh rangkaian 4G Maxis yang terulung yang mencapai lebih daripada 3Mbps 95 peratus daripada masa dalam persekitaran penggunaan data yang semakin meningkat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya gembira mengakhiri 2019 dengan prestasi yang kukuh dengan prestasi suku keempat yang membanggakan.

“Tahun ini, kami mengembangkan pasukan Enterprise dan membina perkongsian kukuh dengan yang terbaik dalam industri untuk memberikan lebih nilai kepada perniagaan di Malaysia.

“Selaras dengan cita-cita Rancangan Fiberisasi dan Kesalinghubungan Kebangsaan Kerajaan, kami juga memperluaskan jejak perkhidmatan tetap kami secara agresif dan terus membina asas pelanggan fiber kediaman yang kukuh,” katanya.

Untuk suku keempat 2019, Maxis mencatatkan pendapatan pascabayar sebanyak RM974 juta meningkat 4.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil prabayar kekal berdaya saing pada RM783 juta berbanding RM845 juta tahun sebelumnya.

Hasil perkhidmatan tidak termasuk hasil borong naik 2.5 peratus kepada RM1.98 bilion daripada RM1.93 bilion disokong oleh prestasi teras yang berdaya tahan.

Maxis turut mencatatkan kepemimpinan berterusan dalam pascabayar dengan ARPU bulanan yang tinggi sebanyak RM90 dan peningkatan pelanggan pascabayar sebanyak 432,000 menjadikan jumlah keseluruhan pelanggan 3.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe