OMAR SIDDIQ
OMAR SIDDIQ


LEMBAGA Pengarah CIMB Group telah melantik Ketua Pegawai Operasi Kumpulan CIMB, Omar Siddiq sebagai pegawai yang bertanggungjawab untuk CIMB Group dan CIMB Bank Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Ia adalah susulan peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd dan CEO CIMB Bank Bhd selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan, hari ini.

Pengerusi CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, Tengku Zafrul telah berkhidmat dengan kumpulan itu selama enam tahun, selepas menyertai semula pada 2014.

“Beliau telah melaksanakan tugas dengan cemerlang, merangka transformasi CIMB di bawah pelan strategik T18 dan Forward23 kami.

“Tenaga dan komitmen beliau kepada CIMB sukar untuk ditandingi tetapi beliau meninggalkan organisasi dengan lebih baik dengan kedudukan yang lebih kukuh apabila beliau telah menyatukan dan memupuk budaya CIMB yang kukuh.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul atas semua sumbangannya kepada kumpulan dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pelantikan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan dalam barisan Kabinet yang baharu dianggap bersejarah berikutan jawatan yang berpengaruh itu biasanya untuk seorang tokoh kanan dalam parti politik yang memerintah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 9:15 PM