ORANG ramai mendapatkan barangan keperluan di sebuah pasar raya Tesco di Kota Bharu. - FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai mendapatkan barangan keperluan di sebuah pasar raya Tesco di Kota Bharu. - FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


SEMUA cawangan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd dan juga platform beli-belah dalam talian, Tesco Online akan terus dibuka seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan mulai semalam hingga 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, pihaknya memberi jaminan kepada pelanggan bahawa Tesco mempunyai stok mencukupi.

Katanya, Tesco juga akan terus menambah produk utama di seluruh cawangannya bagi memenuhi permintaan dalam tempoh ketidaktentuan yang disebabkan oleh Covid-19.

“Cawangan kami lebih sibuk daripada biasa, kerana ramai pelanggan yang membeli barangan harian dalam kuantiti yang tinggi.

“Walaupun pelanggan mungkin mendapati yang beberapa barangan kelihatan seperti sudah kehabisan kerana permintaan yang tinggi, saya ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa stok baharu sentiasa dihantar ke setiap cawangan.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pembekal untuk mengekalkan bekalan semua produk utama, terutamanya makanan segar dan beku, barangan runcit kepentingan rumah dan barangan bukan makanan yang penting,” katanya.

Beliau turut meminta pelanggan bagi membeli barangan seperti biasa dan hanya membeli apa yang diperlukan sahaja.

“Kami faham kebimbangan kerana pandemik ini tetapi membeli lebih daripada yang diperlukan, kadang-kadang bermakna bahawa orang lain tidak dapat memenuhi keperluan mereka.

“Ia cukup untuk semua orang jika kita bekerjasama,” katanya.

Ritchie juga menggalakkan pelanggan untuk menggunakan aplikasi Scan & Shop yang baru dilancarkan bulan lalu apabila membeli-belah barangan rumah di Tesco.

Pelanggan boleh berbelanja dengan mudah melalui aplikasi Scan & Shop yang membantu mereka menjejaki perbelanjaan dan mengimbas pembelian ketika membeli-belah di cawangan Tesco.

Aplikasi terbabit boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store serta membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan mereka dengan mengimbas barangan sendiri semasa membeli-belah di mana-mana cawangan Tesco.

Sebaik selesai, pelanggan boleh pergi terus ke Kaunter Layanan Sendiri atau Kaunter Tunai, sediakan kod bar yang dihasilkan aplikasi dan membayar tanpa perlu mengeluarkan apa-apa barangan dari bakul atau troli mereka dan tanpa memerlukan juruwang mengimbas barangan.

Melalui cara ini, pelanggan masih boleh menjarakkan diri semasa membeli-belah di Tesco.

Scan & Shop app boleh didapati di semua cawangan Tesco di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 7:00 AM