PENGAWAL keselamatan memeriksa suhu badan pelawat yang mengunjungi RHB Bank di Jalan Tun Razak.
PENGAWAL keselamatan memeriksa suhu badan pelawat yang mengunjungi RHB Bank di Jalan Tun Razak.
Mahanum Abdul Aziz

RHB Banking Group menerima 119 permohonan membabitkan jumlah pembiayaan RM1.15 bilion bagi program bantuan kewangan Covid-19 yang dilaksanakan bagi membantu pelanggan yang terjejas oleh penularan wabak berkenaan.

Program itu dilaksanakan kumpulan perbankan itu sejak 11 Februari lalu, yang menyediakan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan atau penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman dan pembiayaan.

Penjadualan atau penstrukturan disediakan untuk perniagaan yang berdaya maju termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya secara proaktif sudah mengenal pasti 168 pelanggan PKS dalam sektor yang amat terjejas seperti pelancongan serta makanan dan minuman memerlukan bantuan kewangan.

Beliau berkata, moratorium selama enam bulan ditawarkan untuk membantu mereka dalam tempoh yang mencabar itu.

“Bank akan terus membantu PKS yang terjejas untuk meringankan beban kewangan mereka," kata dalam satu kenyataan.

Selain Program Bantuan Kewangan yang ditawarkan RHB Banking Group, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan Kemudahan Bantuan Khas bernilai RM2 bilion, yang akan digunakan dalam bentuk modal kerja untuk membantu PKS dalam mengurangkan masalah aliran tunai dalam jangka masa pendek.

Ia sebahagian daripada dana untuk PKS oleh BNM yang boleh didapati mulai 6 Mac lalu.

Setakat ini, RHB Banking Group menerima 135 permohonan berjumlah lebih RM100 juta di bawah bantuan dana oleh BNM itu.

Dana itu terdiri daripada tiga komponen: Kemudahan Bantuan Khas (SRF); Kemudahan Agromakanan (AF) untuk meningkatkan pengeluaran makanan, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion; dan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS (ADF) untuk memberi insentif kepada PKS bagi mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi, dengan peruntukan RM300 juta.

AF bermula dari 6 Mac lalu dan seterusnya, sementara SRF dan ADF sah dari 6 Mac hingga 31 Disember 2020.

Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi RHB Call Centre di 03-92068118, mengunjungi cawangan atau menemui pengurus hubungan mereka untuk bantuan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:00 AM
    Digital NSTP Subscribe