X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
HM Digital

PENINGKATAN jumlah pengeluaran dalam industri pembuatan termasuk makanan mustahil dilaksanakan susulan beberapa peraturan antaranya bilangan pekerja perlu dikurangkan seperti mana digaris dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM), Datuk Azman Yusoff berkata, kebanyakan kilang milik ahlinya ketika ini beroperasi untuk meneruskan pengeluaran bagi memastikan bekalan buat pengguna tidak terputus.

Katanya, operasi diteruskan membabitkan beberapa sektor pembuatan disebabkan keperluan mengekalkan operasi sepanjang masa demi menjaga barangan yang akan rosak jika terhenti.

“Di pihak persatuan, kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pengilang meneruskan operasi sepanjang tempoh ini namun jika ada yang meminta kami tingkatkan jumlah pengeluaran, saya kira ia sesuatu yang mustahil.

“Ini kerana perintah turut mensyaratkan bilangan pekerja dikurangkan kepada jumlah paling minimum.

“Justeru pada saya pengeluaran ketika ini tertumpu kepada menampung keperluan semasa mengikut kemampuan pekerja yang ada.

“Pengeluaran dalam tempoh ini bukan lagi berasaskan untung dan pastinya sebahagian besar kilang ambil langkah kurangkan pengeluaran,” katanya.

Dalam pada itu, Azman menggesa majikan dalam industri pembuatan terutama lebih 2,000 ahlinya supaya mematuhi syarat PKP untuk beroperasi.

Beliau memohon majikan mengutamakan pekerja tempatan sebagai kumpulan dipilih untuk bekerja supaya golongan itu tidak diberi cuti tanpa gaji yang tentunya memberi kesan kepada ekonomi mereka.

“Kita meminta semua ahli supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan penularan Covid-19 pada tahap maksimum di tempat kerja.

“Ini termasuk menggunakan peralatan yang sudah disterilkan, memakai topeng penutup mulut dan hidung serta sarung tangan dan memeriksa suhu badan setiap pekerja yang bertugas.

“Selain itu, kita menggesa majikan supaya menyediakan makanan buat pekerja sepanjang dua minggu ini bagi mengurangkan pergerakan mereka membeli makanan di luar tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, PPIPBM memberi jaminan semua ahlinya akan akur dengan perintah itu dan mengutamakan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja demi membantu kerajaan menangani wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:30 AM
    Digital NSTP Subscribe