INDIVIDU atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memilih untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman/ pembiayaan tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan menjejaskan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) masing-masing.

Bank Negara Malaysia melalui lampiran soalan lazim yang dikeluarkan hari ini berkata, bagaimanapun faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

Menurut lampiran berkenaan, setiap individu atau pemilik perniagaan PKS perlu berbincang dengan bank masing-masing mengenai kemudahan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan.

“Ini kerana tidak semua peminjam mempunyai keperluan yang sama dan mereka perlu menghubungi bank masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Menurutnya, semua pinjaman/pembiayaan individu dan PKS (tidak termasuk kad kredit) yang memenuhi kriteria akan secara automatik layak untuk ditangguhkan.

“Bagaimanapun, akaun pinjaman/pembiayaan yang sudah melebihi tunggakan 90 hari tidak layak untuk ditangguhkan.

“Malah, hanya bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan (IKP) yang dikawal BNM menawarkan pakej penangguhan ini,” katanya.

Bank pusat berkata, fleksibiliti itu bertujuan membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan terjejas akibat Covid-19 dengan institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan, berkuat kuasa 1 April 2020.

“Tawaran itu diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi ringgit yang mempunyai rekod pembayaran baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April 2020.

“Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh tiga tahun dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 3:10 PM
    GAMBAR hiasan
    GAMBAR hiasan
    Digital NSTP Subscribe