BANK Negara Malaysia. FOTO Syarafiq Abdul Samad
BANK Negara Malaysia. FOTO Syarafiq Abdul Samad
BERNAMA

BUAT kali pertama dalam sejarah, Bank Negara Malaysia (BNM) mengadakan sidang media secara maya sempena Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019 yang dikeluarkan hari ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid -19.

Sidang akhbar secara eksklusif itu disiarkan secara langsung oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi platform media sosialnya serta di Bernama TV menerusi Astro di saluran 502.

Dalam memberikan jaminan mengenai ekonomi negara dan keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang ada, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus turut menasihati rakyat Malaysia supaya mematuhi PKP.

“Tempoh ini bukan saja luar daripada kebiasaan Malaysia malah juga dunia. Kita semua kini berada pada peringkat asas keluarga, sama ada sebagai ibu, ibu bapa, anak, adik-beradik atau pasangan dan semua daripada kita bimbang mengenai kesan virus itu ke atas kesihatan keluarga kita,” katanya dalam sidang media dan taklimat selama 45 minit itu.

Beliau berkata, semakin cepat Malaysia dapat merekodkan lengkung jangkitan rata Covid-19, maka semakin pantas negara boleh mencapai pemulihan ekonomi dan kembali kepada keadaan sedia kala.

“Justeru, setiap kita perlu memainkan tanggungjawab masing-masing. Tolonglah patuhi PKP dan berada di rumah,” katanya.

Noor Shamsiah berkata, Malaysia berupaya muncul kembali lebih kukuh daripada pandemik itu.

BNM menerbitkan tiga laporan -- Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2019; Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019.

Ia juga mengambil pendekatan berbeza bagi ketiga-tiga laporan itu yang bertujuan memberi lebih pemahaman kepada pihak berkepentingan utama dengan mempelbagaikan tahap aspek teknikal dalam penerbitan berkenaan.

Laporan Tahunan BNM 2019 yang memperincikan operasi bank pusat pada 2019, dihasilkan untuk menjangkau khalayak ramai supaya mereka dapat mengetahui dan memahami dengan lebih mendalam tentang mandat dan pelbagai fungsi BNM.

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 pula adalah penerbitan yang lebih bersifat teknikal dan menumpukan penilaian dan unjuran BNM mengenai keadaan dan perkembangan ekonomi.

Dalam pada itu, Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 yang diterbitkan dua kali setahun, juga adalah penerbitan yang teknikal dan mengandungi analisis penilaian risiko serta unjuran oleh BNM berkaitan kestabilan kewangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 2:24 PM