HOTEL bajet bersedia untuk menyediakan pakej bufet Ramadan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab Food atau Food Panda. FOTO Arkib NSTP
HOTEL bajet bersedia untuk menyediakan pakej bufet Ramadan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab Food atau Food Panda. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

HOTEL bajet bersedia memberi perkhidmatan penghantaran juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia Emmy Suraya Hussein berkata, perancangan itu ada dibuat oleh beberapa hotel bajet yang menyediakan bufet Ramadan sebelum ini.

Menurutnya, hanya 30 peratus hotel bajet mempunyai restoran sendiri yang kebanyakannya beroperasi di ibu kota dan bandar besar seperti Shah Alam, Selangor serta Ipoh, Perak.

“Sekiranya PKP dilanjutkan, sudah tentu hotel tidak dapat beroperasi dan tiada bufet Ramadan disediakan tahun ini.

“Bagaimanapun kita mengambil pendekatan untuk menyediakan pakej juadah berbuka puasa kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab Food atau Food Panda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Emmy berkata, langkah itu membolehkan perniagaan dan perkhidmatan kepada pelanggan dapat diteruskan melalui penggunaan kakitangan secara minimum.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan, PKP wajar dilanjutkan tetapi disaran perlu dilaksanakan mengikut zon dengan memberikan lebih tumpuan kepada kawasan zon merah dan kuning.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun dilaporkan berkata, PKP tidak perlu dilanjutkan kepada kawasan zon hijau berikutan bebas daripada wabak itu namun aspek pengawalan perlu berterusan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:18 PM