SEAN Goh
SEAN Goh

GRAB akan menambah lima lagi pasar di sekitar Selangor dalam perkhidmatan Pasar by GrabMart sejajar usahanya untuk memperkasa dan memastikan perniagaan kecil tradisional serta usahawan mikro tidak terpinggir dalam peralihan Malaysia sebagai negara digital.

Inisiatif berkuat kuasa semalam itu, menyusuli maklum balas positif terhadap Pasar by GrabMart yang membolehkan pelanggan membeli pelbagai barangan segar, rempah ratus, hasil ternakan, hasil laut serta daging terus dari Pasar (Besar) Taman Tun Dr Ismail atau TTDI dari kediaman masing-masing.

"Kami mendapat keputusan menggalakkan hasil daripada usaha untuk melindungi mata pencarian peniaga, pemandu dan rakan pelaksana ketika tempoh mencabar ini," kata Ketua Negara Grab Malaysia Sean Goh, dalam satu kenyataan.

Kerjasama sempena Ramadan Grab dengan kerajaan dan pertubuhan tempatan akan turut memberi ruang lebih besar bagi melonjakkan sokongannya terhadap perniagaan kecil tradisional dan usahawan mikro.

"Kami berharap dengan membantu golongan itu bukan sekadar memberi manfaat kepada jutaan pelanggan Grab, tetapi turut melonjakkan platform membantu pelanggan mereka menikmati kemudahan itu," katanya.

Syarikat itu juga secara aktif memberi sokongan terhadap restoran menerusi aliran tunai segera di bawah program kadar faedah sifar Komisen Tertunda.

Ia turut memperkenalkan komisen sifar bagi tujuan pengambilan sendiri oleh pelanggan serta menyerap semua kos transaksi pesanan menerusi saluran media sosial menggunakan pilihan bayaran GrabPay.

Goh berkata, hampir 8,000 peniaga mendapat manfaat daripada program Grab itu.

Lebih 100,000 pemandu GrabCar digerakkan untuk memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi impak terhadap perniagaan e-hailing.

Jelas Goh, walaupun pengurangan komisen peniaga boleh dianggap sebagai penambahbaikan sementara, hakikatnya sebahagian besar komisen itu dimasukkan ke dalam rangkaian penghantaran sebagai satu pendapatan.

Dalam pada itu, program bantuan perniagaan kecil Grab dan kempen Wira Tempatan syarikat itu turut menghasilkan sambutan menggalakkan dengan 30 peratus restoran dan penjaja kecil bebas menggunakan konsep penghantaran makanan secara dalam talian iaitu peningkatan jualan atau pesanan sebanyak 25 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 7:20 AM