X
PEMBAYARAN dijangka dibuat pada Jun yang akan dikreditkan ke akaun pemohon yang layak.
PEMBAYARAN dijangka dibuat pada Jun yang akan dikreditkan ke akaun pemohon yang layak.
BERNAMA

Bangi: Kementerian Kewangan menyasar sebanyak 700,000 perusahaan kecil dan sederhana mikro akan menerima manfaat daripada Geran Khas Prihatin (GKP) yang berjumlah RM2.1 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, GKP adalah bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan yang akan dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"GKP adalah geran, ia dibayar secara one-off (sekali) dan tidak perlu dibayar balik," katanya selepas lawatan kerja Hasil Care Line and Hasil Recovery Call Centre Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perasmian GKP, di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, permohonan bagi geran itu dibuka bermula semalam hingga 15 Mei ini.

"Tempoh permohonan 15 hari adalah mencukupi tetapi kita terbuka. Kita mahu permohonan dibuat dalam tempoh ini agar kita boleh mempercepat pembayaran selepas hari ke-15. Kita mahu pastikan data adalah tepat sebelum membuat pembayaran," katanya.

Permohonan geran boleh dibuat secara dalam talian melalui portal GKP - https://gkp.hasil.gov.my - yang disediakan oleh LHDN.

Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula pada minggu pertama Jun 2020 dan pembayaran dijangka dibuat pada Jun yang akan dikreditkan ke akaun pemohon yang layak.

Antara kelayakan untuk memohon GKP adalah warganegara Malaysia dan pemohon menjalankan PKS mikro dengan jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000 serta jumlah pekerja kurang lima orang, tidak termasuk pemilik.

PKS mikro itu hendaklah berdaftar dengan LHDN, pihak berkuasa tempatan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum atau pada 31 Disember 2019 dan masih aktif menjalankan perniagaan ketika permohonan dibuat.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pembayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibayar secara berperingkat mulai 4 Mei membabitkan jumlah penerima seramai 8.3 juta orang dengan jumlah pembayaran sebanyak RM3.68 bilion.

Daripada jumlah ini, katanya, hampir 2.05 juta permohonan baharu dan rayuan diluluskan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.51 bilion dan masih terdapat permohonan baharu dan rayuan dalam proses semakan oleh LHDN.

Pembayaran bagi permohonan baharu dan rayuan akan dibuat pada pertengahan Mei 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 8:50 AM