X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bisnes HM


PEMBAYARAN untuk permohonan baharu dan rayuan yang layak bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibuat bermula pertengahan Mei ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga 29 April 2020, hampir dua juta permohonan baharu dan rayuan telah diluluskan membabitkan jumlah sebanyak RM1.5 bilion.

"Pembayaran fasa kedua BPN bernilai RM3.7 bilion sudah dilaksanakan sejak 4 Mei secara berperingkat kepada 8.3 juta penerima B40 dan M40 yang diluluskan sebelum ini.

"Dengan perkembangan terkini, kerajaan menjangka peruntukan tambahan sekurang-kurangnya RM1 billion diperlukan di atas peruntukan asal sebanyak RM10 bilion," katanya.

Menurutnya, bagi fasa pertama BPN, pembayaran sebanyak RM5.5 billion telah dibuat kepada 7.78 juta penerima iaitu peningkatan daripada 7.74 juta penerima dengan jumlah sebanyak RM5.47 bilion minggu lalu.

"Ia juga membabitkan mereka tanpa akaun bank yang telah menunaikan BPN di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya dalam perkongsian laporan keempat pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan serangkap pantun.

Pantun berkenaan berbunyi: 'Indah sungguh jati di pahat, penyeri peti kamar nakhoda, kalau negara mahu selamat, patuhi SOP dengan setia'.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:00 PM