AirAsia. FOTO NSTP
AirAsia. FOTO NSTP


PENUMPANG AirAsia yang mempunyai tempahan penerbangan antara 23 Mac dan 31 Julai 2020 kini boleh memilih antara Akaun Kredit dengan tempoh sah selama dua tahun atau pertukaran penerbangan tanpa had untuk perjalanan sehingga 31 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan Kumpulan AirAsia, Adam Geneave berkata, semua Akaun Kredit yang dikeluarkan sebelum ini untuk gangguan berkaitan Covid-19 akan turut diberi lanjutan tempoh sah secara automatik sehingga dua tahun untuk perjalanan akan datang.

"Pelanggan mempunyai pilihan untuk menukar tarikh penerbangan tanpa had di mana tarikh penerbangan boleh ditukar sebelum 31 Oktober 2020 untuk laluan sama tanpa had dan tanpa bayaran tambahan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk," katanya.

Menurutnya, pelanggan juga boleh mengekalkan nilai tambang tempahan ke dalam akaun Ahli AirAsia BIG yang boleh ditebus dalam masa 730 hari kalendar (dua tahun) bermula dari tarikh yang dikreditkan untuk perjalanan masa akan datang.

"Tarikh perjalanan boleh dibuat pada bila-bila masa selagi mengikut jadual penerbangan yang dikeluarkan di airasia.com," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penumpang yang layak boleh merujuk kepada Panduan Covid-19 untuk langkah-langkah berhubung dengan bot sembang AVA di support.airasia.com atau airasia.com untuk membuat pilihan mereka dengan segera.

Katanya, dalam minggu akan datang, tempoh sah untuk semua Akaun Kredit yang belum digunakan yang dikeluarkan oleh penumpang terjejas akibat gangguan perjalanan Covid-19 terdahulu akan turut dilanjutkan secara automatik kepada dua tahun.

"Semua maklumat ini terpakai hanya untuk tempahan dalam talian yang dibuat secara langsung dari laman web airasia.com. Untuk tempahan berkumpulan atau tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan, sila rujuk kepada ejen untuk bantuan seterusnya," katanya.

Menurutnya, berikutan keadaan yang tidak dijangka ini, pihaknya mengalami peningkatan pertanyaan yang maksimum ketika ini.

"Kami terus berusaha sepanjang masa untuk menawarkan bantuan kepada mana-mana penumpang yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan, dan kami amat menghargai kesabaran anda.

"Kesihatan dan kesejahteraan penumpang dan kakitangan kami sentiasa menjadi keutamaan. Kami terus mengikuti rapat situasi kesihatan awam dan mematuhi sepenuhnya nasihat oleh kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 1:38 PM