Syarifah Dayana Syed Bakri

PELAN Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek bagi tempoh Jun hingga Disember yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bulan ini memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama dalam memperkasakan ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tiga matlamat itu adalah memperkasakan rakyat (Empower People), melonjakkan perniagaan (Propel Businesses), dan merangsang ekonomi (Stimulate the Economy).

Katanya, pelan pemulihan jangka pendek dirangka bagi tempoh Jun hingga Disember 2020 mengambil kira pendekatan kerajaan bersandarkan empat ciri.

"Pertama, ia mestilah tangkas serta dinamik dan pelan berkenaan mesti mampu diperbaiki dan diperhalusi secara berterusan, mengikut keperluan semasa serta situasi tidak menentu sepanjang tahun ini.

"Kedua, kerjasama sektor awam-swasta diutamakan. Pelan ini merangkumi pelbagai langkah dengan kerjasama seramai mungkin peserta dari sektor swasta, dan bukan saja dari syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC)," katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Prihatin di Facebooknya, semalam.

PELAN pemulihan jangka pendek dapat memperkasakan semula ekonomi negara.
PELAN pemulihan jangka pendek dapat memperkasakan semula ekonomi negara.

Bagi ciri ketiga, Tengku Zafrul berkata, ia mengambil kira komunikasi menyeluruh dan capaian meluas membabitkan rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia.

Katanya, semua pihak harus meyakini pelan pemulihan itu agar rakyat dan perniagaan dapat memainkan peranan masing-masing bagi menjana semula ekonomi Malaysia.

"Kerajaan akan memastikan usaha komunikasi dilakukan secara berterusan. Ketelusan dan keterbukaan adalah penting dalam menjayakan usaha ini.

"Ciri terakhir ialah pendekatan berdasarkan data, di mana pelaksanaan pelan ini bergantung kepada statistik agar setiap pencapaian dapat dipantau dan diperhalusi dengan cepat dan tepat.

"Data terkini dikongsi bersama sektor kerajaan dan swasta sertaagensi pelaksanaan untuk penambahbaikan berterusan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya sejak awal Mei, Kementerian Kewangan mengadakan sesi libat urus dengan 100 pihak berkepentingan.

Ia termasuk sektor pelancongan, usahawan sosial, industri kreatif, persatuan peniaga, teknologi dan e-dagang, pendidikan, perumahan, pembuatan, sumber manusia, perubatan swasta, perkhidmatan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pertanian dan perladangan.

"Kementerian menerima dan menganalisis pelbagai cadangan mengenai langkah yang boleh diperkenalkan.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak dan rakan Kabinet yang turut terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:01 AM