KAKITANGAN sebuah hotel di ibu negara membuat persediaan menerima pengunjung.
KAKITANGAN sebuah hotel di ibu negara membuat persediaan menerima pengunjung.

SEKTOR pelancongan domestik dijangka kembali rancak dan menyumbang semula kepada ekonomi negara selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya menyambut baik langkah PKPP yang dibuat oleh kerajaan bagi membantu pelancongan domestik berkembang semula.

Katanya, pelancongan domestik harus diberi keutamaan kerana dapat membantu merancakkan rantaian aktiviti ekonomi, termasuk sektor penerbangan, penginapan, pengangkutan, peruncitan serta makanan dan minuman.

"Kami berharap agar Sabah dan Sarawak melakukan perkara sama tanpa sekatan lain untuk bersama merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

"Namun, kami juga berharap kerajaan akan menilai semula kelonggaran pergerakan lebih awal dari 31 Ogos untuk memperkuat semula kegiatan ekonomi," katanya.

Menurutnya, kebanyakan pengusaha pelancongan juga bergantung kepada kedatangan pelancong asing.

Beliau berkata, jika hanya pelancongan domestik, sudah pasti ia tidak mencukupi kerana kebanyakan hotel beroperasi dalam kerugian.

"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan membuka semula secara berperingkat kepada pelancong luar negara kerana kebanyakan pemain industri sudah bersedia lebih awal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Oleh itu, kami lebih bersedia menerima pelancong domestik dan asing terutama dari negara Asean, Brunei dan Jepun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 7:15 AM