PERSATUAN Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) yakin industri pelancongan kembali rancak menerusi penawaran pakej lengkap percutian dengan harga istimewa dan perlindungan insurans.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, Mita mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen Pameran e-Pelancongan Mita dengan tawaran harga promosi hingga 70 peratus berserta perlindungan insurans serendah RM4.

Katanya, kempen berlangsung dari 1 hingga 15 Julai itu membabitkan 200 vendor dijangka mampu menjual lebih 100,000 baucar dengan nilai jualan RM5 juta.

"Kami akui pelancongan antara sektor ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 dan tahun ini dianggarkan industri pelancongan kerugian kira-kira RM45 bilion.

"Langkah proaktif perlu diambil oleh agensi pelancongan untuk menukar semula kaedah pemasaran mereka dengan memberi tumpuan terhadap pelancongan domestik.

"Kami yakin melalui skim Senang Insurance dari Zurich General Insurance Company Berhad, serendah RM4 (perlindungan sehingga RM20,000) dapat membantu merancakkan lagi sektor pelancongan domestik.

"Ia sekali gus memberi semula keyakinan masyarakat untuk keluar melancong biarpun di dalam negara," katanya pada sidang media pelancaran Pameran e-Pelancongan Mita di sini, semalam.

INDUSTRI pelancongan dijangka kembali rancak menerusi penawaran pakej lengkap percutian.
INDUSTRI pelancongan dijangka kembali rancak menerusi penawaran pakej lengkap percutian.

Uzaidi berkata, sudah tiba masanya agensi pelancongan di negara ini yang dulu banyak memfokuskan kepada pakej perjalanan ke luar negara, mempromosikan tempat menarik di Malaysia.

"Sebenarnya, banyak lagi tempat menarik dalam negara yang belum diteroka sepenuhnya. Menerusi kempen e-pelancongan ini, kami menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 7:00 AM