TENGKU Zafrul pada sidang media.
TENGKU Zafrul pada sidang media.

KERAJAAN menyeru majikan dan pencari kerja untuk terus mendaftar di bawah program PenjanaKerjaya untuk peluang pekerjaan dan pekerja yang sesuai.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, program PenjanaKerjaya diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menawarkan insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan dengan peruntukan RM1.5 bilion.

"PenjanaKerjaya dilancarkan bagi membantu perniagaan dan rakyat yang terkesan oleh krisis Covid-19. Program ini bertujuan untuk merangsang penjanaan pekerjaan dan bagi membantu pencari kerja daripada golongan tertentu (penganggur, pekerja yang hilang mata pencarian, OKU atau graduan) yang mencari peluang pekerjaan.

"Sejak PenjanaKerjaya dilancar pada 15 Jun, ada pertumbuhan positif dicatat bagi penjanaan pekerjaan dan bilangan pencari kerja mendaftar untuk peluang pekerjaan.

"Purata pendaftaran harian mencapai 2,926 pencari kerja dan 2,185 kekosongan jawatan didaftarkan di bawah MYFutureJobs iaitu Portal Perkhidmatan Pekerjaan Nasional.

"Sehingga 28 Jun 2020, Perkeso mencatat pendaftaran 107,971 pencari kerja dan 85,578 kekosongan jawatan," katanya.

Katanya, majikan dan pekerja boleh mendaftar di http://www.myfuturejobs.gov.my/ untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu selain mencari bakat berpotensi untuk jawatan yang ditawarkan.

Selain PenjanaKerjaya, program lain diperkenalkan di bawah Penjana adalah program MY30.

"Di bawah program MY30, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi penggunaan tanpa had dengan bayaran RM1 saja sehari selama 30 hari untuk MRT, LRT, monorel, BRT, Bas RapidKL dan Bas Pengantara MRT.

"Setakat 28 Jun 2020, 66,692 pas terjual dan subsidi kerajaan bagi pas ini bernilai RM11.3 juta," katanya dalam laporan Laksana ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), semalam.

Menurutnya, selain itu, kerajaan melaksanakan program subsidi upah ditambah baik dengan peruntukan RM5.3 bilion.

"Dengan penyelarasan program Subsidi Upah di bawah Penjana, permohonan majikan untuk program Subsidi Upah yang ditambah baik ini dibuka mulai 15 Jun lalu.

"Di bawah program ini, pekerja di dalam sektor pelancongan dan sektor terlarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diberi cuti tanpa gaji layak untuk menerima subsidi upah, dengan syarat pekerja itu menerima subsidi upah secara langsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:10 AM