MUSTAPA (kiri) pada Majlis Pelancaran Pembiayaan dan Pembayaran Digital & e-Dompet My Pay di Rumah Tangsi, semalam. Turut hadir,  Sabri (dua dari kiri), Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (tengah), Mohd Muazzam (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Fass Payment Solution Sdn Bhd, Chris Leong. FOTO Bernama
MUSTAPA (kiri) pada Majlis Pelancaran Pembiayaan dan Pembayaran Digital & e-Dompet My Pay di Rumah Tangsi, semalam. Turut hadir, Sabri (dua dari kiri), Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid (tengah), Mohd Muazzam (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Fass Payment Solution Sdn Bhd, Chris Leong. FOTO Bernama
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Parlimen dijangka dibuat seawal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, anggaran kedudukan ekonomi negara dalam tempoh lima tahun akan datang adalah berdasarkan keadaan semasa.

Katanya, tarikh sebenar pembentangan RMK-12 bagaimanapun belum dapat ditetapkan.

"Perancangan RMK-12 perlu mengambil kira impak ekonomi daripada pandemik Covid-19.

"Sudah pasti dengan landskap ekonomi yang sudah berubah dengan mendadak, kita perlu mengambil kira cara kita bekerja.

"Malah, perniagaan juga berubah dengan peningkatan penggunaan digital.

"Ini semua perlu diambil perhatian dan ia adalah antara sebab mengapa RMK-12 perlu dilihat semula dan beberapa perubahan akan dipinda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pelancaran Pembiayaan dan Pembayaran Digital & e-dompet MyPay di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Dapat Vista (M) Sdn Bhd, Sabri Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Bhd, Muazzam Mohamed.

RMK-12 sepatutnya dibentangkan pada 6 Ogos ini terpaksa ditangguh berikutan beberapa justifikasi iaitu pembentukan Kabinet baharu serta penubuhan dan penstrukturan semula kementerian pada Mac 2020, keperluan mengambil kira cadangan langkah penyelesaian dalam pelan pemulihan.

Sementara itu, Sabri berkata, perkhidmatan Pembiayaan dan Pembayaran Digital & e-Dompet MyPay menawarkan penyelesaian pembiayaan atau produk yang bersesuaian dengan asas pelanggan Dapat Vista melalui platform MyPay.

"Kami menyasarkan seramai mungkin akan menggunakan perkhidmatan ini kerana ia dilihat melengkapkan lagi ekosistem penyediaan perkhidmatan digital pembiayaan yang membolehkan capaian pelanggan lebih luas tanpa perlu pergi ke bank," katanya.

Selain MyPay, pelanggan juga boleh mendapatkan produk perbankan Bank Islam melalui saluran digital lain seperti ezXcess untuk permohonan pelbagai produk pembiayaan, pembukaan akaun maya (VAO) dan aplikasi Go by Bank Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 7:01 AM