FOTO Hiasan
FOTO Hiasan

Kuala Lumpur: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), menjalin kerjasama dengan JA Assure untuk menawarkan Dr Shield, platform insurans ganti rugi profesional secara dalam talian kepada profesional perubatan di 147 anggota hospital APHM bermula 1 September 2020.

Pelancaran Doctor Shield pada awal 2019 menandakan kejayaannya dalam industri penjagaan kesihatan yang menyediakan proses pendaftaran dalam talian lengkap pertama di Malaysia.

Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, APHM memilih untuk bekerjasama dengan Doctor Shield (thedoctorshield.com) berikutan langkah pendekatan yang digunakan lebih jauh ke hadapan dan mesra digital.

Katanya, ia secara tidak langsung memudahkan proses insurans ganti rugi, selain menggabungkan ciri inovatif produk dengan nilai tambah yang belum pernah dilaksanakan dalam industri perubatan sebelum ini.

"Ini juga adalah peluang bagi profesional perubatan anggota hospital untuk menjimatkan masa melalui peningkatan tahap kecekapan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Melalui kerjasama ini juga, APHM berjaya mendapatkan penurunan harga secara menyeluruh untuk profesional perubatan sektor swasta.

Penjimatan bagi perlindungan ganti rugi untuk mereka amat penting terutamanya ketika keadaan semasa yang tidak menentu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JA Assure Group, Japhire Gopi berkata, sokongan daripada APHM juga menjadi isyarat terbaik bahawa semua pihak berada pada landasan tepat untuk membantu komuniti perubatan dan masyarakat.

"Polisi Doctor Shield ditaja jamin oleh Chubb Insurance Malaysia Berhad, iaitu syarikat insurans am yang berprestasi di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 4:53 PM