Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: TREVO, anak syarikat pemula niaga perkongsian kereta Socar Mobility Malaysia (SOCAR) menawarkan insentif RM200 kepada 10,000 pemilik kereta untuk menawarkan kenderaan mereka menerusi platform aplikasi pasaran sehenti perkongsian kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR, Leon Foong berkata, pihaknya melabur RM2 juta untuk tujuan itu bagi menarik hos baharu dalam kalangan pemilik kereta dengan syarat pendaftaran antaranya kereta mereka mestilah berusia tidak melebihi 12 tahun pada 31 Disember tahun ini.

"Insentif bantuan kewangan RM200 ini akan disalurkan kepada 10,000 hos baharu terawal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu yang mendaftar dengan TREVO. Selain itu, hos juga mesti membenarkan kereta mereka ditempah selama sekurang-kurangnya 14 hari setiap bulan untuk memenuhi syarat kelayakan.

"TREVO kini memulakan Fasa 1 Kajian Pembuktian Konsep (POC) pasaran perkongsian kereta individu-ke-individu (P2P) berasaskan aplikasi dan pelaburan RM2 juta kami sediakan sebagai bantuan insentif kewangan kepada hos baharu.

"Selain insentif RM200, kami mahu rakyat Malaysia memanfaatkan peluang untuk menjadikan aset (kereta) mereka sebagai penjana pendapatan berulang," katanya dalam majlis pelancaran TREVO Lighthouse Activation Centre di Kuala Lumpur, hari ini, yang disempurnakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong .

Hadir sama, Pengarah Urusan TREVO, Susan Teoh.

WEE (dua dari kanan) melancarkan pusat TREVO Lighthouse. Turut serta Pengurus Besar TREVO, Susan Teoh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Foong. FOTO Rohanis Shukri
WEE (dua dari kanan) melancarkan pusat TREVO Lighthouse. Turut serta Pengurus Besar TREVO, Susan Teoh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Foong. FOTO Rohanis Shukri

Foong berkata, mereka yang bekerja dari rumah juga boleh menyenaraikan kereta yang tidak digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.

Menurutnya, TREVO menawarkan platform yang menghubungkan pengguna (tetamu) dengan pemilik kereta (hos) yang membolehkan tetamu menempah mana-mana kereta yang memenuhi keperluan mobiliti mereka dan membolehkan hos mendapat pendapatan tambahan bagi mengurangkan kos pemilikan kereta.

"Pemilik kereta boleh menampung sehingga 85 peratus pinjaman kereta mereka dengan hanya berkongsi kenderaan di TREVO untuk minimum 10 hari sebulan. Mereka boleh menetapkan harga sendiri asalkan ia berada di dalam julat harga yang disediakan oleh algoritma TREVO," katanya.

Sementara itu, Wee berkata, kementerian mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta mengambil bahagian dalam kajian POC selaras wawasan Dasar Pengangkutan Negara 2019 hingga 2030 untuk meningkatkan pembabitan orang ramai dan pihak berkepentingan dalam pembangunan inisiatif pengangkutan.

Beliau berkata, kajian oleh syarikat swasta boleh menawarkan maklumat tambahan yang bermanfaat kepada Dasar Pengangkutan Negara bagi memantapkan lagi tadbir urus ke arah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan.

"Ini terutamanya dalam mengukuhkan dan memperkemaskan rangka kerja perundangan dan penerapan nilai yang berasaskan bukti semasa perancangan serta pembangunan sektor ini bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:20 PM