MOHD Muazzam (kiri) menyampaikan zakat perniagaan kepada Ketua Eksektutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid, semalam.
MOHD Muazzam (kiri) menyampaikan zakat perniagaan kepada Ketua Eksektutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

KualaLumpur: Lebih sedekad di pasaran, akaun pelaburan inovatif Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Al-Awfar berjaya merekodkan saiz dana berjumlah RM4 bilion menerusi 924,615 akaun setakat 9 September 2020 berbanding RM2.93 bilion direkodkan Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, lebih membanggakan menerusi akaun Al-Awfar baharu, Bank Islam sudah melepasi sasaran saiz dana RM732 juta yang disasarkan bagi tahun ini.

Katanya, peningkatan memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap produk Al-Awfar.

"Setakat ini, kami berjaya menjana sebanyak RM1.1 bilion saiz dana melepasi yang disasarkan sepanjang 2020.

"Manakala bagi 2021, sasaran kami adalah meningkatkan jumlah dana sebanyak RM913 juta dan kami yakin jumlah ini dapat dicapai," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Al-Awfar di sini, semalam.

Menurutnya, Al-Awfar adalah akaun pelaburan inovatif berisiko rendah dan berdasarkan konsep Mudarabah iaitu perkongsian untung yang mana dananya dilaburkan dalam portfolio pembiayaan perumahan dan aset tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh.

Beliau berkata, Al-Awfar memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah wang dan ganjaran bernilai lebih RM15 juta setahun.

Sejak diperkenalkan pada 2009, Bank Islam melahirkan seramai 28 jutawan Al-Awfar setakat ini.

Produk Al-Awfar kini memberi peluang kepada 10,000 pemenang dengan 31 pemenang di setiap negeri bagi setiap bulan, tidak termasuk hadiah suku tahunan dan undian istimewa.

Sempena majlis itu, Bank Islam meraikan tujuh pemenang bagi kempen Al-Awfar setakat Jun 2020 terdiri daripada kategori Cabutan Al-Awfar Mac dan Jun serta Cabutan Khas Al-Awfar Jun 2020 dengan nilai keseluruhan hadiah disampaikan kepada pemenang hampir RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:10 AM