AGIHAN BPN  dikenali sebagai BPN 2.0 membabitkan peruntukan hampir RM7 bilion untuk empat kumpulan rakyat.
AGIHAN BPN dikenali sebagai BPN 2.0 membabitkan peruntukan hampir RM7 bilion untuk empat kumpulan rakyat.

INDIVIDU yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan sama ada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh mengemukakan permohonan baharu mulai 15 Oktober hingga 15 November 2020.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan https: //bpn.hasil.gov.my; atau dengan menghantar borang secara persendirian ke cawangan/Pusat Khidmat Hasil (PKH)/UTC LHDNM.

Borang permohonan boleh dimuat turun daripada pautan https://bpn.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemohon tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan ketika memohon.

"Semua permohonan akan disemak berdasarkan data agensi yang ditetapkan Kementerian Kewangan Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan agihan BPN dikenali sebagai BPN 2.0 membabitkan peruntukan hampir RM7 bilion untuk empat kumpulan rakyat.

Kumpulan pertama akan menerima bantuan tambahan RM1,000 ialah golongan B40 dengan seramai 3.7 juta isi rumah.

Kumpulan kedua RM500 kepada 3.8 juta (B40 bujang); ketiga RM600 kepada hampir 1.4 juta (M40).

Kumpulan keempat pula 1.7 juta M40 bujang yang akan menerima RM300.

Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran iaitu pada hujung Oktober dan yang kedua pada Januari 2021.

Katanya, bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama pada Oktober sebanyak RM700 dan kedua (baki) RM300 pada Januari 2021.

Tengku Zafrul berkata, penambahan BPN 2.0 ini menjadikan jumlah keseluruhan inisiatif BPN melebihi RM18 bilion kepada 10.6 juta penerima merangkumi golongan bujang dan isi rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 7:00 AM