MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) melihat produk keluaran Santan bersama Catherine (kiri).
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) melihat produk keluaran Santan bersama Catherine (kiri).
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Syarikat makanan dan minuman (F&B) Santan bakal mengembangkan rangkaian restorannya ke peringkat antarabangsa iaitu Shenzhen, China, United Kingdom, Filipina dan Indonesia pada suku pertama 2021.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, selain itu pihaknya menyasarkan membuka lebih 100 cawangan baharu menjelang 2022 di seluruh Malaysia.

Katanya, setakat ini Santan mempunyai 15 rangkaian dan akan membuka 20 cawangan baharu di sekitar Lembah Klang.

"Memandangkan Santan mendapat sijil pendaftaran francais rasmi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kami komited meluaskan lagi rangkaian melalui penawaran perniagaan francais.

"Selain menyediakan platform bagi membantu usahawan muda untuk menceburi industri F&B, pengembangan 20 restoran baharu tahun ini membuka ratusan peluang pekerjaan seperti kakitangan kaunter hadapan dan pengurusan restoran.

"Tahun ini, fokus kami pengembangan di sekitar Lembah Klang untuk terus meningkatkan jenama kami dan sebagai batu loncatan untuk Santan berkembang ke seluruh Malaysia.

"Menjelang tahun depan, kami menyasarkan membuka 65 lagi cawangan dan restoran pertama di Sabah atau Sarawak dijangka dibuka pada suku pertama 2021," katanya pada sidang media penyampaian sijil francais Santan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Presiden AirAsia Digital, Aireen Omar.

Catherine berkata, francais pertama Santan dibuka di SOGO Kuala Lumpur pada 8 Oktober ini dan diikuti lokasi strategik lain pada November dan Disember.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima lebih 1,000 permohonan yang berminat menjadi francaisi dan yuran francais Santan pula adalah antara terendah di pasaran iaitu bermula RM50,000 bergantung saiz restoran.

Sementara itu, Alexander Nanta berkata, pihaknya berharap lebih ramai usahawan tempatan akan mengambil peluang francais bersama Santan yang bukan saja akan merancakkan lagi pertumbuhan industri francais negara, malah meningkatkan nilai hasil dagangan industri francais menjelang 2025.

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan orang ramai dalam menjadi usahawan francais terutamanya golongan muda.

Beliau berkata, industri francais mempunyai potensi untuk berkembang dan menjadi salah satu sumber pendapatan baharu.

"Kerajaan sentiasa bersedia dan memikirkan pelbagai kaedah terbaik untuk meningkatkan usahawan francais.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan pengecualian cukai francais, jika perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:55 AM