GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Facebook Malaysia dengan kerjasama Teach For Malaysia (TFM) melancarkan program literasi digital bagi memupuk budaya dalam talian yang positif dan selamat di kalangan rakyat Malaysia.

Facebook dalam satu kenyataan berkata, program We Think Digital ini direka bagi membantu golongan yang masih baru dalam menggunakan Internet.

Ia juga bagi mereka yang masih ingin belajar atau meningkatkan kemahiran digital.

Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan berkata, Malaysia antara negara yang mempunyai jumlah pengguna Internet paling pesat berkembang.

"Peningkatan kemahiran berkaitan literasi digital adalah sangat penting bagi mewujudkan budaya positif dan selamat di Internet.

"Kami berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Teach For Malaysia dalam memupuk golongan belia di akar umbi dan melahirkan generasi warga digital yang bertanggungjawab.

"Bagi kami, tiada yang lebih penting daripada memastikan bahawa kami mewujudkan komuniti yang selamat, berpengetahuan, inklusif dan saling menghormati di Facebook," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melalui kerjasama berterusan ini, Facebook Malaysia dan TFM akan melatih 2,500 pelajar di seluruh negara menjelang April 2021.

Selain itu, Facebook Malaysia juga menugaskan penyelidik pasaran, YouGov, untuk melakukan tinjauan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam berhubung kelengkapan rakyat Malaysia dalam kemahiran digital dan kesedaran mereka mengenai keselamatan dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teach For Malaysia Chan Soon Seng berkata, kebanyakan pengguna Internet di Malaysia terdiri daripada golongan muda.

"Walau bagaimanapun, mereka kekurangan kemahiran berfikir secara kritis ketika di dalam talian.

"Kami di TFM berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan Facebook untuk melancarkan program We Think Digital di Malaysia dan memberikan peluang kepada pelajar di Malaysia dengan menerapkan kemahiran asas literasi digital dan kewarganegaraan digital mereka dalam dunia digital di abad ke-21 ini," katanya.

Facebook bekerjasama dengan pakar, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) di Asia Pasifik dalam merangka pelbagai modul.

Antara topik yang akan dibincangkan di Malaysia termasuk privasi, keselamatan, wacana digital dan jejak digital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 2:28 PM