PEMBUKAAN semula ekonomi pasca tempoh PKP dan pemulihan permintaan luaran juga memacu peningkatan aktiviti pengambilan semula pekerja.
PEMBUKAAN semula ekonomi pasca tempoh PKP dan pemulihan permintaan luaran juga memacu peningkatan aktiviti pengambilan semula pekerja.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Pasaran tenaga kerja bagi suku ketiga 2020 semakin baik didorong oleh langkah luar jangka bagi mengekalkan pekerjaan selain aktiviti pengambilan semula pekerja yang ketara susulan pemulihan ekonomi.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew berkata, pembukaan semula ekonomi pasca tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pemulihan permintaan luaran juga memacu peningkatan aktiviti pengambilan semula pekerja pada suku berkenaan.

Malah, bagi setiap 100 pekerjaan yang hilang kini menyaksikan 22 penggantian berbanding cuma sembilan penggantian pada suku kedua, katanya.

"Sudah pasti ada sektor yang mana prospek pemulihan penggajian dan pendapatannya terbukti lebih mencabar seperti industri berkaitan pelancongan, namun kadar pengangguran juga bertambah baik kepada 4.7 peratus pada Julai.

"Terdapat tanda pasaran tenaga kerja semakin pulih dan ini dijangkakan dapat bertahan pada suku keempat 2020 apabila kegiatan ekonomi terus meningkat," katanya pada sesi taklimat media secara maya sempena Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan semalam.

Chew juga menyifatkan kadar subsidi dan program yang diperkenalkan kerajaan sebagai kritikal pada masa ini dalam usaha menjamin persekitaran pasaran tenaga kerja.

Pendekatan yang diambil seperti moratorium bersasar dan bantuan menerusi pakej rangsangan juga dijangka diteruskan hingga 2021.

Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 7:20 AM