LANGKAH melanjutkan bantuan kewangan bersasar dapat membantu menyokong perniagaan di samping skim jaminan korporat dan PKS.
LANGKAH melanjutkan bantuan kewangan bersasar dapat membantu menyokong perniagaan di samping skim jaminan korporat dan PKS.
BERNAMA

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan keadaan perniagaan bertambah baik pada separuh kedua 2020 seiring peningkatan secara beransur-ansur aktiviti ekonomi.

"Langkah melanjutkan bantuan kewangan bersasar terus dapat membantu menyokong perniagaan di samping skim jaminan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pemulihan nyata semakin kukuh.

"Paling penting, ketampakan lebih ketara terhadap prestasi pinjaman daripada peralihan kepada bantuan pembayaran semula yang lebih bersasar kekal penting untuk mengurangkan penghindaran risiko dan meningkatkan bekalan kredit semasa fasa pemulihan ini," katanya dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan- Separuh Pertama 2020" yang dikeluarkan di sini.

Laporan itu menyediakan penilaian BNM ke atas risiko semasa dan berpotensi terhadap kestabilan kewangan dan daya tahan sistem kewangan Malaysia bagi mengekalkan peranan pengantaraan kewangannya dalam ekonomi.

Hutang luaran sektor korporat meningkat 4.9 peratus, terutama digerakkan pinjaman tambahan oleh syarikat terbabit dalam sektor berkaitan minyak dan gas.

Selain itu, ia kesan penilaian berikutan kelemahan nilai ringgit pada separuh pertama 2020 berbanding mata wang utama dan serantau terpilih.

Bagaimanapun, bank pusat berkata, risiko kestabilan kewangan daripada pinjaman luar kekal boleh diuruskan kerana pinjaman kebanyakannya bersifat jangka pertengahan hingga panjang dan dilindung nilai kepada sebarang pendedahan terhadap pergerakan mata wang.

Dalam pada itu katanya, risiko peningkatan penularan Covid-19 sekali lagi boleh menjejaskan permintaan global.

"Sektor yang mungkin terus terjejas menguasai sekitar 16 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan," kata bank pusat.

BNM menjangkakan sistem perbankan kekal berdaya tahan terhadap peningkatan ketara dalam keseluruhan rosot nilai perniagaan dengan kerugian kepada bank dikurangkan secara signifikan melalui obligasi cagaran dan sumber pendapatan pelbagai di antara peminjam besar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:30 AM