Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Aplikasi mudah alih, Gigworks menawarkan platform selamat untuk pekerja bebas (freelancer) bagi menangani masalah penipuan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Glenn Tay berkata, pekerja jenis ini sering diperdaya untuk bekerja secara percuma dengan janji ganjaran menarik.

Katanya, untuk memastikan kedua-dua pihak mematuhi perjanjian, Gigworks menetapkan polisi perlindungan yang mana pembayaran hanya dibuat selepas selesainya kerja.

"Senarai pekerjaan yang tidak lengkap sering kelihatan tanpa sebarang tanda amaran.

"Sebilangan besar pekerja ini dilihat sudah banyak tertipu, terutamanya mereka yang tidak berpengalaman dalam industri ini.

"Walaupun ramai yang mungkin tertarik dengan pekerjaan bebas, ia penting untuk berwaspada terhadap penipuan yang terkait dengan pekerjaan jenis ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penerimaan pembayaran yang tepat pada masa dan cepat adalah salah satu daripada beberapa cabaran yang dihadapi oleh pekerja bebas.

Katanya, disebabkan pekerja bebas tidak semestinya bersua muka bersama pelanggan atau majikan mereka.

Justeru, ia memberi peluang kepada majikan untuk menangguh pembayaran kerana tidak mudah untuk pekerja bebas menghubungi mereka untuk mendapatkan pembayaran tertunggak.

Beliau berkata, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti senarai pekerjaan bebas yang boleh dipercayai untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

"Antaranya, pekerja perlu tandatangani kontrak perjanjian dan pastikan perjanjian ditandatangani untuk menetapkan kerja, pembayaran, waktu dan cara pembayaran.

"Selain itu, hindari iklan pekerjaan palsu, kaedah pembayaran yang menimbulkan kesangsian, jangan hubungi pelanggan di luar saluran rasmi dan jangan sesekali membuat pembayaran untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:55 AM