INISIATIF baharu Boat Noodle bagi memberi pilihan kepada pelanggan.
INISIATIF baharu Boat Noodle bagi memberi pilihan kepada pelanggan.

RANGKAIAN restoran tempatan berinspirasikan makanan Thailand, Boat Noodle memperkenalkan Tapau Je!, inisiatif baharu dilancarkan memberi pilihan kepada pelanggan menggunakan kemudahan penghantaran atau bawa pulang bagi semua menu yang disediakan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Lim Chin Hau berkata, Tapau Je! sebahagian pendekatan jenama Boat Noodle dalam menyediakan perkhidmatan lebih baik buat pelanggan seiring perubahan waktu.

Menurutnya, menerusi Tapau Je!, pihaknya menjanjikan keenakan apa saja menu termasuk hidangan popular mi sampan (boat noodles) akan dinikmati pelanggan di mana saja meskipun bukan di restoran.

"Ketika ini, semua menu baik pembuka selera, set nasi tradisional, minuman, pencuci mulut dan semestinya boat noodle, tersedia untuk dipesan melalui GrabFood dan Foodpanda di seluruh negara.

"Di sesetengah kawasan sekitar Lembah Klang, pesanan juga boleh dibuat menerusi http://tapauje.boatnoodle.com.my,‚Äč laman web khusus Boat Noodle untuk kemudahan pelanggan di mana pelanggan baharu perkhidmatan ini bakal menikmati diskaun 10 peratus bagi pesanan pertama mereka," katanya.

Mengulas lanjut, kata Tony Lim, bagi memudahkan pelanggan menikmati hidangan yang dipesan, langkah penyediaan dilampirkan bersama setiap pesanan bento terbabit yang juga memastikan pengalaman terbaik dilalui pelanggan sewaktu menjamah keenakan hidangan Boat Noodle di luar restoran.

Malah katanya, kedua-dua menu mi sampan asli Boat Noodle dengan pilihan rasa sup Ayutthaya dan Pathumthani boleh dinikmati dalam tiga kaedah berbeza.

"Ketika dalam perjalanan, hidangan yang masih panas boleh dinikmati dengan hanya membuka bungkusan terbabit dan siramkan kuah dalam bento terbabit. Anda juga boleh memasukkan bahan dalam mangkuk mengikut cita rasa masing-masing.

"Kedua, jika anda berada di pejabat misalnya, cuma panaskan mi sup terbabit dalam mangkuk menggunakan ketuhar gelombang mikro untuk dinikmati pada bila-bila masa.

"Atau, pelanggan yang berada di rumah boleh memanaskan mi terbabit atas dapur gas dengan paras sederhana dan menambah perisa mengikut pilihan masing-masing," katanya.

Jelas Tony Lim lagi, rakyat Malaysia kini meneroka pilihan makanan dan minuman (F&B) menerusi penghantaran pada setiap hari menjadikan perkhidmatan itu kian penting untuk ditawarkan kepada pelanggan.

"Tapau Je! menyediakan pengalaman Boat Noodle yang nyata yang membolehkan pengguna menikmati keenakan hidangan kami dalam cara dan pilihan masing-masing," katanya.

Set hidangan Boat Noodle bermula pada harga RM9.90 yang tersedia di lebih 30 cawangan di seluruh negara untuk penghantaran dan bawa pulang selain makan di restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 7:31 AM