X
PELANGGAN  terkesan memerlukan bantuan dialu-alukan  membuat permohonan.
PELANGGAN terkesan memerlukan bantuan dialu-alukan membuat permohonan.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Hampir 100 peratus permohonan Program Bantuan Kewangan dan Pelepasan Bayaran Ansuran Affin (Fair) oleh Affin Bank Bhd (AFFINBANK) sudah diluluskan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, AFFINBANK akan terus menerima permohonan untuk program Fair sehingga Jun tahun depan.

"Kami terus mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan terhadap program ini dan setakat ini menerima lebih daripada 13,000 permohonan bernilai RM2.6 billion.

"Kami terus komited untuk membantu pelanggan daripada pelbagai segmen perniagaan yang menghadapi masalah kewangan dalam membayar ansuran bulanan untuk pinjaman atau kemudahan kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Program Fair penyelesaian bantuan kewangan yang disesuaikan dengan profil dan keadaan semasa pelanggan yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19.

Wan Razly berkata, AFFINBANK menyediakan pelbagai pilihan bantuan pembayaran untuk memenuhi keperluan kewangan pelanggan.

"Kami mengalu-alukan pelanggan memerlukan bantuan untuk membuat permohonan bagi program ini secepat mungkin.

"Kami ingin mengingatkan pelanggan yang terjejas dengan keadaan pandemik Covid-19 untuk segera menghubungi pihak bank sekiranya mereka ingin meminta bantuan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan.

"Bank juga ingin menjelaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam yang memohon serta diluluskan bantuan pembayaran balik tidak akan terjejas," katanya.

Pelanggan boleh menghubungi bank melalui Pusat Panggilan di talian 03-8230 2222, mengunjungi mana-mana cawangan AFFINBANK atau AFFIN ISLAMIC berdekatan atau menghantar e-mel pada [email protected].

Maklumat lanjut mengenai Program Fair boleh didapati secara dalam talian di www.affinbank.com.my, www.affinislamic.com.my dan www.affinonline.com.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:20 AM