X
KERJASAMA TNBES dan Instep akan mempercepatkan pemantapan kecekapan tenaga.
KERJASAMA TNBES dan Instep akan mempercepatkan pemantapan kecekapan tenaga.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES), baru-baru ini memeterai perjanjian Smart Energy Efficiency (SEE) dengan Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep), Kuala Terengganu selama 10 tahun hingga 2030.

Pengarah Urusan TNBES, Dr Ahmad Jaafar Abd Hamid berkata, menerusi perjanjian berkenaan ia membolehkan Instep menjimatkan penggunaan kira-kira 407,880 per kilowatt jam (kWh) elektrik setiap tahun.

"Dengan jumlah anggaran penjimatan elektrik tahunan itu, kerjasama RM2.45 juta ini berupaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida kira-kira 288 tan metrik setiap tahun bersamaan dengan jumlah karbon dioksida yang mampu diserap 4,769 anak pokok untuk tempoh 10 tahun.

"TNBES akan merangka dan melaksanakan strategi perbelanjaan operasi terbaik bagi Instep, khususnya dari segi kecekapan tenaga (EE) tanpa perbelanjaan modal.

"Perjanjian ini dilihat sebagai satu lagi kolaborasi penting antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memantapkan lagi kecekapan tenaga dan tenaga hijau dan kami akan membekalkan penyelesaian gaya hidup cekap tenaga yang inovatif dan bermanfaat kepada Instep.

"Kami percaya kerjasama ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga hijau di Malaysia, " katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pertukaran perjanjian antara Ahmad Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Instep, Idris Ibrahim itu diadakan secara norma baharu iaitu menerusi maya.

Sementara itu, Idris berkata, inisiatif berkenaan adalah sejajar komitmen mereka terhadap Agenda Kelestarian Pembangunan Petronas dalam melindungi alam sekitar serta memberi nilai dan manfaat positif kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:30 AM