TENGKU Zafrul merasmikan pelancaran Minggu Saham Digital (MSD), semalam. FOTO Ihsan PNB
TENGKU Zafrul merasmikan pelancaran Minggu Saham Digital (MSD), semalam. FOTO Ihsan PNB
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Bhd (PNB) terus meningkatkan portfolio pelaburan di pasaran luar negara khususnya dalam era pandemik Covid-19 bagi menawarkan peluang menyeluruh kepada pemegang unit amanahnya.

Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, peningkatan portfolio itu seiring langkah PNB mempelbagaikan cabang pelaburannya di pasaran domestik dan antarabangsa.

"PNB terus meninjau peluang pelaburan luar negara dan meningkatkannya secara berkala berdasarkan kepada unjuran ekonomi serta cabaran semasa terutama ketika ini.

"Pelaburan luar negara ini ditingkatkan secara berkala bergantung kepada unjuran semasa. Kami melihat kepada tinjauan ekonomi dan jika ia bersesuaian, PNB memperkenalkan lagi produk pelaburan luar negara yang baharu.

"Tetapi PNB bukan sahaja menumpukan kepada pelaburan luar negara semata-mata, tetapi turut membabitkan kepada pasaran domestik," katanya dalam sidang media maya selepas pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) yang dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) turut menyampaikan perutusan melalui video.

Dalam majlis sama, syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) melancarkan dana unit amanah pertamanya yang mempunyai portfolio pelaburan di pasaran antarabangsa, ASN Imbang 3 Global.

ASN Imbang 3 Global adalah unit amanah harga berubah, ditawarkan dengan pelaburan permulaan minimum RM10.

Mengulas lanjut, Zeti berkata, sejak diperkenalkan 16 September lalu, ASN Imbang 3 Global dilanggan 5,000 pelabur membabitkan dana RM290 juta.

Beliau berkata, ASN Imbang 3 Global sesuai untuk mereka yang mencari destinasi pelaburan dengan risiko sederhana dan mengharapkan peningkatan modal dan pulangan dari pelaburan jangka panjang.

Zeti turut berkata, PNB turut mengunjurkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) terus meningkat.

Dalam tempoh ini katanya, AUM PNB meningkat daripada RM61 bilion pada 2000 kepada RM315 bilion sehingga September 2020 yang lalu.

Dalam pada itu, Zeti berkata, PNB juga menjadikan MSD sebagai acara tahunan dan dalam proses mengenal pasti tarikh sesuai untuk penganjuran akan datang.

"Kami akan pastikan MSD tahun hadapan lebih baik berbanding penganjuran tahun ini," katanya.

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 8:28 AM