PENIAGA dan penjaja sedia memberi kerjasama sepanjang PKP 2.0.
PENIAGA dan penjaja sedia memberi kerjasama sepanjang PKP 2.0.

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) komited memberi kerjasama dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menjalankan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata, peniaga dan penjaja sedia memberi kerjasama dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan.

Katanya, kelonggaran SOP yang ditetapkan kerajaan memberi kelegaan kepada mereka dan kerajaan mengambil kira nasib golongan berpendapatan rendah (B40) membabitkan lebih 200,000 ahli GPPPKMM di seluruh negara yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

"Semua kedai makan dan gerai penjaja di enam negeri yang dikenakan PKP hanya boleh menawarkan perkhidmatan bawa pulang.

"Bagi kedai makan dan gerai penjaja di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan beroperasi dengan mengikut SOP.

"Penjaja dan peniaga juga akan memberi komitmen untuk bekerjasama dan mematuhi arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan dan menjamin keselamatan dan kesihatan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:10 AM