TINJAUAN di Pekan Rabu mendapati suasana lengang dan kurang pengunjung.
TINJAUAN di Pekan Rabu mendapati suasana lengang dan kurang pengunjung.
Sri Ayu Kartika Amri


KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melihat kekangan aliran tunai dan jumlah jualan yang lebih rendah menjadi antara cabaran utama usahawan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan Medac, PKP 2.0 juga menjejaskan rangkaian bekalan susulan masalah logistik dan kelewatan penghantaran bahan mentah akibat pergerakan terhad.

Katanya, bakal usahawan mikro dan tidak rasmi paling terjejas oleh kekangan aliran tunai kerana mereka tidak mempunyai banyak simpanan bagi menanggung kos operasi perniagaan seperti gaji pekerja, sewa dan bil utiliti.

"Lanjutan PKP sememangnya akan mempengaruhi ekonomi dan yang paling terkesan adalah kumpulan B40, termasuk pengusaha mikro dan tidak rasmi.

"Walaupun PKP kali ini kebanyakan mereka agak bersedia, namun hakikatnya peniaga kecil ini belum pulih sepenuhnya dari kesan PKP sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, bagi sektor koperasi pula aktiviti perniagaan yang diharapkan turut terjejas dengan ketara akibat PKP 2.0 dan proklamasi darurat boleh menyebabkan keadaan yang tidak dijangka berlaku di mana ia menghalang seseorang daripada memenuhi kontrak, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada pengusaha.

Wan Junaidi berkata, ini juga boleh mempengaruhi keyakinan pelabur terhadap landskap perniagaan negara yang berpotensi menghasilkan pengaruh domino di pasaran saham dan pelaburan langsung asing (FDI).

"Di sebalik semua risiko ini Medac optimis melihat kesan positif situasi sekarang iaitu dari segi peningkatan permintaan dan penawaran produk serta perkhidmatan dalam talian.

"Merujuk laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dari Januari hingga September tahun lalu, menunjukkan walaupun 41,349 perniagaan ditutup untuk tempoh dikaji, tetapi dalam masa sama sebanyak 299,431 pendaftaran perniagaan baharu dibuat yang mana 86,295 adalah perniagaan dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:58 AM