TOYOTA Vios antara model kereta  ditawarkan dalam program Kinto One.
TOYOTA Vios antara model kereta ditawarkan dalam program Kinto One.

Kuala Lumpur: Toyota Capital Malaysia memperkenalkan Kinto One, program langganan kereta Islamik pertama dunia yang menawarkan medium baharu kepada pelanggan memiliki dan memandu kenderaan tanpa perlu terbeban kaedah pembelian sewa-beli kenderaan secara tradisional sebelum ini.

Presidennya, Thomas Chai berkata, Kinto One hasil daripada kerjasama strategik antara Toyota Capital Malaysia dan UMW Toyota Motor dan direka secara khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup generasi baharu berkaitan mobiliti.

"Ia berkenaan peralihan cara pembelian pelanggan daripada pemilikan kenderaan kepada penggunaan kenderaan. Ia juga selari dengan visi Mobility for All yang dijuarai Toyota," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kinto One adalah pelan langganan kenderaan yang merangkumi seluruhnya dengan bayaran ansuran bulanan tetap apabila ansuran bulanan tetap berkenaan termasuk sekali kos pendaftaran kenderaan, insurans komprehensif tahunan dan cukai jalan, penyelenggaraan berjadual serta penyelenggaraan pencegahan.

Tempoh langganan disediakan sama ada bagi dua tahun atau tiga tahun dan selepas ia tamat, pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit kepada Toyota Malaysia.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy berkata, Kinto One disasarkan untuk memenuhi keperluan generasi muda pemilik kenderaan yang inginkan kebebasan dan mobiliti melalui pelan langganan bulanan dengan ansuran tetap dan inklusif.

Kinto One dilancarkan Toyota Motors Corporation dan diperkenalkan di banyak negara di dunia termasuk di Amerika Utara dan Amerika Selatan, di negara utama Asia dan di Eropah.

Program itu kini secara rasminya boleh didapatkan oleh pelanggan di Malaysia bermula semalam secara dalam talian melalui laman web www.kinto-my.com.

Model semasa ditawarkan termasuk Toyota Vios, Yaris, Corolla, Innova, Fortuner dan Camry dengan banyak lagi model lain disertakan termasuk Lexus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 7:10 AM