MASJID Negara antara bangunan yang menggabungkan reka bentuk moden dan konsep verkanular rumah tradisional Melayu.
PAMERAN mengetengahkan pencapaian, impian, etika dan aspirasi generasi perintis arkitek Malaysia ketika tahun awal kemerdekaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Seni bina memainkan peranan penting dalam menterjemahkan keadaan semasa selain turut merakam sejarah negara.

Tempoh atau zaman transformasi merdeka pula membawa perubahan besar pada Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara bagi negara yang baru dibentuk.

Kewujudan Masjid Negara pada 1965 antaranya menggambarkan perkembangan negara ketika itu dalam usaha membangun sebagai sebuah negara yang baru mencapai kemerdekaan.

Rekaan masjid itu menggabungkan gaya seni bina moden dengan prinsip seni bina vernakular bagi memperlihatkan aspirasi negara yang baru merdeka.

Kubah, beranda, payung konkrit dan air antara elemen yang menampilkan rekaan menarik.

Itu antara pengisian dalam pameran Manifest: Modernism of Merdeka yang menampilkan seni bina tempatan membentuk transformasi negara ketika tempoh awal dan selepas kemerdekaan sekitar 50-an dan 60-an.

Pameran yang berlangsung di Galeri Petronas itu adalah kolaborasi Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Ia sebahagian program diatur dalam kalendar Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2017 (KLAF 2017).

Menariknya, pengunjung berpeluang melihat pencapaian, impian, etika dan aspirasi generasi perintis arkitek Malaysia ketika tahun awal kemerdekaan serta pembentukan negara.

Selain turut mamaparkan kepentingan hubung kait antara seni bina dan pembangunan negara itu dipamerkan menerusi fotografi, lukisan, model binaan, dokumen sosial serta persembahan media baru.

Bukan sekadar Masjid Negara, malah pelbagai bangunan lain turut diketengahkan yang menampilkan seni bina moden ketika itu antaranya Stadium Merdeka, bangunan Parlimen dan Lapangan Terbang Subang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Holdings Sdn Bhd Datuk Hashim Wahir berkata, Petronas berkembang seiring dengan pembentukan negara.

“Petronas membesar dengan Malaysia melalui tahun pembentukannya dan membangunkan komuniti setempat dari bandar sibuk hingga ke kawasan terpencil di seluruh negara.

“Bandar menyerlah seperti Kerteh, Bintulu, Tronoh dan Pengerang adalah sebahagian yang menyaksikan peningkatan sosioekonomi hasil daripada kemunculan destinasi itu sebagai pusat bagi aktiviti minyak dan gas,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan pusat bandar Kuala Lumpur yang berintegrasi mengubah lanskap seni bina di ibu negara selain turut membina mercu tanda terkemuka seperti Menara Berkembar Petronas iaitu bangunan ikonik. Ia menggambarkan visi dan perkembangan negara dalam menuju negara maju.

“Saya berharap pameran ini dan program berkaitan KLAF 2017 bakal mempromosikan dialog dan perkongsian dalam mewujudkan bandar yang lebih baik dengan seni bina mampan, efisien dan mengagumkan,” katanya yang berucap ketika majlis pelancaran pameran itu, baru-baru ini.

Majlis itu dihadiri Penaung Diraja KLAF 2017 iaitu Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Presiden PAM Ezumi Harzani Ismail, Pengarah KLAF 2017 Ang Chee, Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah Abdul Rahman dan Pengarah Galeri Petronas Joseph Edwin.

Manifest: Modernism of Merdeka di Galeri Petronas, Level 3 Suria KLCC itu dijangka berakhir esok dan masuk adalah percuma.

Layari www.galeripetronas.com.my untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 8:08 AM