LALUAN denai turut dibuka untuk orang awam untuk tujuan pembelajaran dan menghayati keindahan alam di hutan urban Bukit Persekutuan.
LALUAN denai turut dibuka untuk orang awam untuk tujuan pembelajaran dan menghayati keindahan alam di hutan urban Bukit Persekutuan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Dalam memastikan kawasan hijau kekal hijau dan terjaga, Malaysian Nature Society (MNS) dengan kerjasama Think City dan BirdLife International membangunkan projek hutan urban di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pemuliharaan MNS, Balu Perumal, Urban Community Forest (UCF) Bukit Persekutuan dibangunkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat negara ini khususnya komuniti urban.

UCF yang baru dilancarkan baru-baru ini adalah inisiatif MNS dan rakan kongsi menerusi projek yang dijalankan selama setahun.

“UCF adalah kesinambungan Urban Nature Centre yang pernah kami jalankan beberapa tahun dulu. Mengambil inspirasi daripada projek itu, kami hantar kertas cadangan kepada Think City untuk menyokong usaha baru ini.

“Kami memulakan projek ini dengan membangunkan UCF Resource Centre yang menjadi pusat maklumat untuk kawasan Bukit Persekutuan.

“Selain itu, kami turut membangunkan nurseri selain menaik taraf kawasan denai, mendokumenkan dan membuat penilaian biologi di kawasan ini,” katanya.

Balu berkata, inisiatif yang diambil itu juga bertujuan membuka mata masyarakat dan pihak tertentu berkenaan kepentingan kawasan hijau seperti UCF serta bagaimana ia boleh memanfaatkan penduduk setempat.

“Kita mahukan lebih banyak kawasan hijau selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Kuala Lumpur bertaraf dunia dan rendah kandungan karbon.

“Kerajaan turut menetapkan matlamat untuk mengurangkan jumlah karbon sebanyak 70 peratus menjelang 2030,” katanya.

Kata Balu lagi, kawasan Bukit Persekutuan adalah lokasi sesuai untuk dipelihara dan dipulihara dalam menyokong matlamat itu.

“Mengikut statistik, terdapat enam peratus kawasan hijau di Kuala Lumpur dan jumlah itu turut termasuk kawasan terbuka seperti padang.

“Bagi mencapai matlamat bandar bertaraf dunia, Kuala Lumpur perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan hijau,” katanya.

Malah usaha MNS bersama Think City dan BirdLife International itu dapat menghubungkan ketiga-tiga kawasan hijau berdekatan.

Bukit Persekutuan terletak di lokasi strategik berdekatan dengan Taman Botani dan Taman Tugu.

Setiap lokasi mempunyai aktiviti tersendiri. Taman Botani adalah kawasan hijau terbuka untuk orang awam berekreasi sementara kawasan Taman Tugu mempamerkan rupa bentuk hutan hujan tropika kepada pengunjung.

Bukit Persekutuan juga menawarkan program pembelajaran dan alam semula jadi kepada pengunjung yang ingin menghayati kehijauan alam di dalam hutan urban ini,” katanya.

Malah, dengan keluasan 74.4 hektar itu ia dikatakan contoh sesuai untuk memperlihatkan jenis hutan sekunder kepada orang awam.

Pengurus Projek UCF Sonny Wong berkata hutan Bukit Persekutuan turut ‘menyimpan’ tanaman terancam dan spesies asing yang sukar dijumpai.

Selain itu, ia turut menjadi habitat bagi hidupan liar seperti kera, tupai, musang, kelawar dan burung.

“Populasi haiwan hijrah pasti akan singgah di sesebuah bandar sekiranya ia mempunyai kawasan hijau dan secara tidak langsung meningkatkan jumlah spesies.

“Pada masa sama, kawasan ini turut menjadi habitat bagi 234 spesies tumbuhan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk jadikan kawasan ini lebih hidup dan orang awam yang berminat boleh datang ke UCF Resources Center untuk menghayati serta pelajari tentang flora dan fauna,” katanya.

Kunjungi UCF Resources Center bersebelahan bangunan MNS di JKR641, Jalan Kelantan, Bukit Persekutuan Kuala Lumpur atau layari www.bukitpersekutuan.wordpress.com untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 10:00 AM
Digital NSTP Subscribe