POKOK bunga mawar bersifat ‘manja’ dan tanaman ini memerlukan penjagaan rapi.
Mohd Amin Jalil


Ruang tanah kosong yang terhad tidak menghalang setiap pemilik rumah mencipta lamannya tersendiri secara kreatif.

Malah, melalui tanaman hiasan yang sesuai di keliling rumah, ia bagaikan terapi yang menenangkan.

Kebijaksanaan Norin Asni Ibrahim, 32, dari Bandar Sri Sendayan Seremban, Negeri Sembilan ini begitu terserlah apabila beliau memanfaatkan dengan bijak ruang menjadikan ia laman bunga mawar atau nama saintifiknya, Rosa.

Terdapat 151 jenis bunga mawar ditanam dalam pasu yang disusun baik di setiap sudut kosong kediaman teres setingkat berkembar itu.

Menurut Norin Asni, idea menanam bunga mawar berkenaan tercetus sejak lima tahun lalu kerana terdorong dengan keunikan dan warnanya yang mempesonakan selain mempunyai haruman tersendiri.


KECERIAAN laman yang dicetuskan daripada bunga mawar ini.

“Saya bermula dengan menanam lima pokok bunga mawar iaitu putih, merah, kuning, hitam dan biru. Selepas melihat tanaman itu begitu menjadi dan segar, saya menambah pelbagai lagi jenis bunga mawar lain.

“Setakat ini terdapat 151 jenis pokok bunga mawar yang ditanam di sekeliling rumah.

“Biarpun bukan mudah kerana pokok bunga mawar bersifat ‘manja’ dan tanaman ini memerlukan penjagaan rapi, namun saya puas kerana usaha begitu ‘menjadi,” katanya.

Suri rumah itu yang mendapat sokongan kuat suami, Ahmad Shahfitri Mohd Nasir, 33, berkata, beliau perlu melakukan aktiviti siraman setiap hari selain pembajaan berkala.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan kesegaran pokok kerana mawar memerlukan suhu yang dingin.

Katanya, ruang yang terhad di laman rumahnya itu menyebabkan beliau memilih menggunakan pasu berbanding menanamnya terus di atas tanah.


ANTARA pokok bunga mawar yang ditanam dalam pasu.

“Kaedah ini bukan saja memudahkan saya untuk menyusun di setiap sudut laman, tapi juga tampil lebih kemas selain mudah bagi aktiviti penyelenggaraan.

“Saya juga mengeluarkan baja organik sendiri melalui campuran pelbagai bahan sesuai bagi menjamin kesegaran dan bunga yang sihat.

“Selain itu, saya turut membiakkan anak benih kerana ada permintaan daripada rakan dan orang luar daerah ini,” kata ibu tiga orang anak termasuk kembar berusia antara empat hingga tujuh tahun ini.

Norin Asni berkata, masalah serangan serangga perosak antara cabaran menanam bunga mawar, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadikan laman kediamannya sebagai laman mawar yang indah.

Wanita berasal dari Johor itu berkata, keindahan bunga mawar tiada tolok bandingnya kerana keunikan dan warnanya bersifat eksklusif.


LAMAN tampil menarik apabila mawar ini berkembang.

Justeru, tidak hairan bunga mawar sering dikaitkan dengan lambang keanggunan, kemegahan, kasih sayang dan ikatan persaudaraan yang sejati.

“Keindahan dan keanggunan bunga mawar terbukti apabila ramai yang meminati bunga ini, bukan saja kalangan wanita, malah juga lelaki.

“Saya menerima banyak permintaan dan khidmat nasihat daripada pelbagai individu untuk membantu mereka membina laman sendiri. Bagi mereka yang jauh, kami berhubung melalui laman sosial Facebook.

“Tapi, tidak kurang juga kalangan mereka yang datang ke rumah kerana ingin melihat dari dekat kaedah penanaman dan penjagaan pokok bunga mawar serta mendapatkan anak pokok selain menikmati sendiri keunikan dan kesegaran pokok mawar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 8:20 AM