PELBAGAI keperluan ruang kediaman dan pejabat anda ada di IKEA Tebrau.
DAPATKAN pelbagai perabot dan aksesori hiasan unik di IKEA Tebrau.
Hartini Mohd Nawi


Dalam usaha menzahirkan kediaman sebagai ruang peribadi atau privasi dan kewujudan sudut selesa untuk seisi keluarga serta tetamu, sudah tentu perancangan dekorasi sempurna menjadi keutamaan.

Bergerak selari dengan keperluan itu, pembukaan IKEA Tebrau yang dijangka 16 November ini tentunya melengkapkan penataan ruang kediaman anda khususnya masyarakat Johor dan sekitarnya.

Menurut pengarah peruncitan IKEA Asia Tenggara Mike King, gedung itu bakal menawarkan lebih 8,000 hiasan Sweden yang direka menarik, pelbagai fungsi dengan harga berpatutan.

“Setiap konsep dekorasi pilihan banyak bergantung kepada persekitaran dan gaya hidup masyarakatnya.

“Ditambah dengan kecenderungan budaya setempat, idea dekorasi yang diilhamkan turut mengambil kira kesesuaian dan keselesaan.

“Rekaan demokratik umpamanya membabitkan satu konsep dekorasi yang tampil dengan perspektif unik dan setiap daripada kita mempunyai hak untuk menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.

Menariknya rekaan demokratik itu turut dilengkapi lima prinsip utama iaitu bentuk, kualiti, kelestarian, fungsi dan harga rendah.

Gabungan idea dekorasi itu antara lain bertujuan memenuhi keperluan dan cita rasa masyarakat negara ini,” kata Mike yang mempunyai pengalaman lebih 18 tahun bersama IKEA.

“Melihat kepada kemodenan dan gaya hidup masyarakat bandar terutama yang tinggal di apartmen atau kondominium tentunya lebih menggemari rekaan perabot dan aksesori ringkas serta praktikal.

“Justeru ia bagi disesuaikan dengan keluasan ruang, keupayaan penyelenggaraan dan rekaan sebegini biasanya ditawarkan dalam harga berpatutan.

“Saya juga yakin setiap pemilik kediaman juga begitu mengambil berat soal keperluan ruang yang dirancang mengikut peruntukan bajet tertentu,” kata Mike sempena majlis ‘Roof Capping’ bersama media di IKEA Tebrau, baru-baru ini.

Turut hadir pengurus gedung IKEA Tebrau Annie Chandler dan timbalan pengurus gedung IKEA Tebrau Charles Sathis Nair.

IKEA Tebrau

Ia pertama di selatan tanah air dan gedung IKEA terbesar di Asia.

Terletak di Jalan Tebrau, gedung ketiga di Malaysia itu meliputi kawasan seluas 46, 713 meter persegi dan mempunyai ciri-ciri mampan dalam operasinya.

Malah gedung baru itu turut dibina mengikut keperluan persijilan Peneraju dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED) dan Indeks bangunan hijau (GBI).

Di samping pemasangan panel solar bagi menjimatkan penggunaan elektrik hingga 45 peratus.

Menurut Annie, cawangan itu mempunyai semua ciri gedung IKEA termasuk 54 bilik pameran untuk inspirasi kelengkapan rumah, pembungkusan produk yang efisyen dan sedia dibawa pulang pada hari sama, kawasan permainan kanak-kanak yang diawasi dan Restoran IKEA memuatkan hingga 750 pelanggan.

“Kami kini diperingkat akhir persiapan. Ia termasuk fasa akhir pemasangan dalaman, persediaan operasi, perancangan barangan dan latihan pekerja.

“Menerusi penyediaan lebih 1,771 tempat meletak kenderaan di dalam dan luar bangunan serta stesen mengecas kereta elektrik, tentunya kunjungan anda ke sini berbaloi,” katanya.

Hingga kini terdapat lebih daripada 400 gedung IKEA di 49 negara termasuk tiga di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 5:42 AM