LAMPU terendak biasanya menghasilkan biasan cahaya yang tidak terlalu terang.
Faizal Zain

Salam deko kepada semua, bertemu lagi pada kolum ini untuk sekian kalinya. Dua minggu ini saya akan menyentuh berkenaan pencahayaan lampu. Sebenarnya saya sudah huraikan topik lampu dan pencahayaan dalam penulisan yang lalu. Namun kali ini apa yang ingin saya kongsikan adalah berkenaan penggunaan lampu tidur secara lebih terperinci. Lampu tidur lazimnya terdiri daripada dua jenis iaitu lampu lantai yang diletakkan pada ruang lantai dan satu lagi lampu meja sesuai berada di atas meja.

Lampu lantai itu didatangkan dengan saiz yang lebih besar dan tinggi sementara lampu meja tampil dalam koleksi lebih kecil serta ‘renek.’ Tahukah anda secara rambangnya ramai yang tidak dapat membezakan lampu tidur dan lampu hiasan? Sebenarnya kedua-dua lampu ini mempunyai ciri yang berbeza. Begitu juga lampu membaca dan lampu hiasan, ysng sering mengelirukan anda.

Sebenarnya lampu tidur selalunya datang dengan rekaan lebih ringkas dan terendak yang menghasilkan biasan cahaya tidak terlalu terang. Lampu tidur juga kini terdapat dalam pelbagai bentuk dan rekaan. Selain itu peranan mentol juga perlu dititikberatkan bagi memadankan lampu tidur yang anda miliki. Mentol dengan cahaya kuning paling sesuai untuk lampu tidur selain mentol merah, biru atau hijau jika anda menggemarinya. Sementara mentol berwarna putih pula sangat tidak sesuai untuk dipadankan dengan lampu tidur yang anda miliki.

SEELOK-ELOKNYA dapatkan mentol jenis berkabut dan bukan jenis lut sinar

Seelok-eloknya dapatkan mentol daripada jenis berkabut dan bukan dari jenis lutsinar kerana mentol dari jenis lut sinar selalunya menghasilkan biasan cahaya lebih terik dan tidak sesuai untuk lampu tidur. Kini di pasaran dihujani dengan pelbagai mentol berjenama yang mempunyai kelebihan dalam menjimatkan elektrik. Jika anda bertanya kepada saya maka jawapannya pilihlah yang lebih baik. Ini kerana penggunaan lampu tidur mungkin mengambil masa yang agak lama, iaitu di pasang pada lewat malam hingga keesokan paginya terutama bagi mereka yang kurang gemar untuk tidur dalam suasana gelap gelita.

Selain itu memilih lampu tidur dari jenis keupayaan cahaya boleh laras juga adalah salah satu langkah bijak. Ini kerana anda boleh melaraskan biasan cahaya mengikut situasi tertentu sama mahu lebih terang atau lebih malap. Kesesuaian mentol untuk penggunaan lampu tidur juga seeloknya di bawah kuasa 40 watt. Kini juga terdapat lampu tidur dari penggunaan kuasa solar, di mana anda boleh menjimatkan penggunaan elektrik apabila menggunakan lampu tidur jenis ini.

Di manakah seharusnya lampu tidur diletakkan? Apakah kajian saintifik yang berkaitan dengan lampu tidur? Banyak lagi akan saya kupas ulasannya pada minggu hadapan. Jadi pastikan anda tidak terlepas minggu seterusnya, salam deko!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 12:02 AM