PENGGUNAAN medium berbeza.
Nurul Husna Mahmud

Seni tanaman hiasan bonsai antara cara masyarakat Jepun menggabungkan pokok dengan kehidupan mereka menerusi kaedah estetika.

Bonsai ialah tumbuhan kecil di tanam dalam pasu hiasan yang mampu menjadi landskap indah menerusi sentuhan seni kerja tangan.

Menariknya konsep atau ‘bonsai’ dinilai menarik pada bentuk melengkung ke bawah menyerupai cendawan. Ia terhasil menerusi cantasan dan rias dahan yang bercabang.

Tidak sepadan dengan bentuknya yang genit, tumbuhan ini mempunyai pengaruh besar terhadap peminat pokok hiasan serata dunia. Malah terdapat Konvensyen Bonsai Dunia diadakan setiap empat tahun sekali menyaksikan trend terkini dunia bonsai.


PENGUNJUNG membelek bonsai ada ketika Karnival Bonsai 2018.

Buat komuniti tumbuhan seni hiasan tempatan, Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia menganjurkan Karnival Bonsai 2018 baru-baru ini.

Sekali gus menyaksikan deretan pokok renek mencecah puluhan tahun dipamerkan dan dinilai tahap usianya.

Menurut Presiden Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia Datuk Chua Kok Hwa yang ditemui dalam karnival itu menjelaskan seni pokok hiasan berkenaan mementingkan ketelitian selain kesabaran memastikan ia dirias dan tumbuh dengan baik.


CHUA menunjukkan contoh merias pokok.

“Lagi tua pokok itu lagi tinggi nilainya. Dalam kes tertentu pemilik pokok bertanding membawa pokok baru mencecah dua tiga tahun yang kelihatan berusia puluhan tahun hidup dalam pasu. Sebenarnya ia perlukan teknik dan kemahiran penjagaan.

“Aspek pertama ialah perlu pelajari mengenali baka pokok supaya lebih arif kaedah untuk mencantasnya. Kalau di Jepun, asas saja memerlukan tiga hingga lima tahun apatah lagi berhasrat untuk bergelar ‘master bonsai,” katanya.


PENILAIAN pokok ketika pertandingan di Karnival Bonsai 2018.

Berkenaan trend atau peminat tumbuhan hiasan itu, dulu tidak dinafikan penggiatnya terdiri daripada golongan kaya dan lanjut usia. Dengan adanya varian dari Taiwan dan China yang membawa masuk bonsai bukan saja menarik malah tahan lasak membuatkan kumpulan peminat ini sudah berkembang ke golongan pertengahan dan muda.

“Sebenarnya satu ketika dulu penggiat seni bonsai banyak menumpukan perhatian pada pokok bonsai baka Jepun seperti cemara, juniper dan mapel. Ada juga mencari baka sukar diperoleh seperti sakura dan pokok bermusim.


ANTARA keunikan bonsai.

“Terkini ada baka dipanggil ‘Colorful Outdoor Bonsai Plant Perennial Sacred Fig Seeds’ dan ‘Semi-evergreen Bodhi Tree Seeds Pu Ti Shu’ menjadi buruan peminat bonsai tempatan. Malah baka tempatan juga sesuai untuk dijadikan hiasan bonsai antaranya pokok bunga kertas, kesinai, asam jawa, kemuning, ara dan melati.

“Penting mereka tahu menjaga dan membentuknya. Jenis pokok bukanlah masalah besar untuk diubah menjadi koleksi bonsai menarik,” katanya.

Penggunaan pasu menarik dan bermotifkan klasik memberi tambah nilai pada karya seni tumbuhan berkenaan.


INOVASI China dalam baka bonsai pokok Mapel Jepun.

“Apabila membabitkan pertandingan, pelbagai aspek dinilai termasuk usia, rupa pokok dan penggunaan pasu serta medium bersesuaian. Ada menggunakan batu dan pasu.

“Kalau di Jepun, pasu menjadi aspek penting, tetapi di China seni ini tidak terhad kepada pasu saja atau dipanggil Penzai merujuk seni Cina kuno.

“Ia menggambarkan pokok yang terbentuk secara artistik, tumbuhan lain dan landskap dalam bentuk miniatur,” katanya.

Selain bonsai saiz tipikal terdapat juga mini bonsai dijual ketika karnival berlangsung.

Kata Chua, miniatur bonsai yang sekitar 10 hingga 20 sentimeter ketinggiannya tergolong dalam kategori bonsai kecil turut menarik peminat dalam kalangan orang muda.


ANTARA bentuk menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 8:08 AM