INOVASI AvatarOn pada ruang kediaman.
Nurul Husna Mahmud

Suis biasanya berwarna putih dan saiz pemetik pula kecil hingga sukar dicapai dalam keadaan tertentu terutama jika gelap.

Andainya terlalu lama digunakan, warna penutup suis bertukar menjadi kekuningan tidak sepadan dengan hiasan dalaman.

Kini pemilik rumah, penggiat industri seni bina dan hiasan dalaman boleh menarik nafas lega menerusi inovasi suis terbaru Schneider Electric iaitu AvatarOn yang disepadukan dengan mudah ke dalam pelbagai gaya rekaan.

Naib Presiden Perniagaan Runcit Schneider Electric Malaysia, Francis Heng berkata, Avatar­On tanda keprihatinan pihaknya untuk terus memenuhi permintaan pelanggan dalam memiliki produk inovatif. Ia boleh diintegrasikan dengan sempurna dalam gaya hidup masyarakat hari ini.

REKAAN kemas dan tidak mencacatkan ruang dinding rumah.

“Kami sedar akan aliran reka bentuk dan dekorasi rumah sentiasa berkembang seiring perubahan gaya hidup moden.

“Bagi memenuhi permintaan mereka, kami tawarkan produk suis, AvatarOn yang fleksibel dengan perubahan perlindungan alat berinovatif dan mudah digunakan untuk kepuasan pelanggan,

“Selain mudah diubah reka bentuk permukaannya, ia didatangkan dengan pelbagai material seperti plastik, kayu, logam, marmar, kulit dan rekaan lakukan sendiri (DIY).

“Terdapat juga aksesori lain bersesuaian dengan keperluan pemilik kediaman dan perniagaan seperti pemegang kunci dan sambungan USB pada suis berkenaan,” katanya pada pelancaran produk itu, baru-baru ini.

TURUT boleh menjadi sebahagian aksesori dinding.

Tambah Francis lagi, AvatarOn kombinasi sempurna antara gaya dan fungsinya apabila menampilkan teknologi ‘slim rocker, sure click’ iaitu rekaan lebih tipis, kompak, selain mengurangkan percikan api dan memastikan penggunaan selamat serta boleh dipercayai.

Dalam menghasilkan pelbagai variasi corak dan motif grafik pada permukaan suis, Schneider Electric Malaysia juga mengumumkan perkongsian strategik utama mereka dengan Photobook Malaysia. Ia bagi memudahkan pengguna AvatarOn berkongsi sentuhan peribadi menerusi langkah mudah ketika membuat tempahan suis terbabit atas talian.

PELBAGAI material dipadankan.

Tidak mengecewakan apabila suis berkenaan turut dilengkapi idea teknologi pintar menerusi spesifikasi lampu LED yang memberi cahaya lembut agar mudah dilihat dalam gelap.

Harga suis berkenaan bermula RM21. Pelanggan yang berminat mendapatkan produk berkenaan boleh melayari www.schneider-electric.com.my atau mengunjungi pengedar sah.

PELBAGAI motif rekaan pada penutup suis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 8:37 AM