SUNTIKAN elemen budaya mengikut kesesuaian keadaan serta lokasi struktur.
Aniza Zainudin


Memasuki era 2019, Malaysia kian agresif mengejar arus pemodenan dalam menghasilkan bangunan pencakar langit bertaraf dunia.

Ini terbukti dengan ikon pencakar langit yang sedang giat dibangunkan, Merdeka PNB 118, sekali gus menjadi bangunan tertinggi di Malaysia menggantikan Menara Berkembar Petronas.

Persoalannya, bagaimanakah industri seni bina berdepan cabaran bagi memastikan dan mengekalkan rekaan struktur yang kaya serta diperhalusi dengan sentuhan budaya?

Kebijaksanaan dan kemajuan bukan saja menjadi ukuran ketamadunan sesuatu bangsa, bahkan keupayaan mengekalkan warisan budaya dan khazanah negara sama ada dari aspek gaya hidup serta struktur binaan sedia ada mahupun yang bakal dibangunkan.

Arkitek, Ar Hud Bakar berkata, seni bina budaya Malaysia bukan diterjemahkan secara langsung tetapi sebaliknya mengambil suntikan elemen berkenaan.


AR Hud

“Bagi saya, elemen budaya dalam seni bina di Malaysia perlu diterapkan sama ada dalam kuantiti kecil mahupun besar.

“Jika hasil lukisan dikategorikan sebagai khazanah negara bernilai tinggi, begitu juga dengan struktur bangunan yang direka dan seterusnya dibina.

“Ramai orang terlupa bangunan mahupun menara pencakar langit yang sedia ada atau bakal dibina adalah warisan dan harta karun negara.

“Ia akan menjadi warisan kita kerana bangunan itu akan berada di lokasi berkenaan untuk selama-lamanya atau dalam jangka masa yang lama.


BANGUNAN adalah harta karun negara.

“Oleh itu, arkitek atau pemain industri seni bina perlu memasukkan elemen budaya mengikut kesesuaian keadaan dan lokasi struktur itu bakal dibina,” katanya ketika ditemui Isnin lalu.

Menurutnya, inisiatif untuk membudayakan rekaan seni bina bukan bererti meniru bulat-bulat, sebaliknya mengambil elemen tersurat mahupun tersirat bagi satu-satu budaya.

Ujarnya, elemen itu perlu disuntik dengan cara penyampaian baru bersesuaian dan bertepatan dengan bangunan yang dibina.

Mengambil contoh rekaan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dihasilkannya, Ar Hud berkata, inspirasi binaannya berasal daripada biji getah.

“Bangunan MITEC direka dengan mengambil inspirasi daripada biji getah. Ini kerana industri getah antara faktor penyumbang kepada kemajuan Malaysia.


KOMPLEKS Islam Putrajaya kekal ciri Islamik.

“Jadi, saya mengambil idea biji getah berkulit secara abstrak yang melambangkan kemajuan negara kita pada satu masa dulu. Itu yang membuatkan ia satu-satu rekaan menarik kerana terdapat cerita di sebaliknya.

“Sisi kreatif bersama elemen budaya ini dalam seni bina tidak seharusnya dilakukan secara literal (terang-terangan). Sebaliknya, arkitek perlu menterjemah semula secara kreatif menerusi cara baru untuk menghasilkan rekaan bangunan dengan elemen baru.

“Menerusi kaedah ini, seni bina budaya negara dapat memperluaskan lagi bukan hanya meniru idea lama yang seolah-olah memandang ke belakang.

“Kita perlu sentiasa memandang ke hadapan namun berdiri berasaskan budaya,” katanya.

Merujuk kepada rekaan Kompleks Pusat Islam Putrajaya, beliau mengambil inspirasi ‘nur’ (cahaya) yang penting dan asas dalam Islam.

Tampil dengan idea cahaya, Ar Hud menterjemahkan inspirasi nur melalui cara tersendiri apabila cahaya dipancarkan dari dalam bangunan seperti keindahan berlian dan permata.

Meskipun elemen nur ini bukan berasaskan budaya Melayu, beliau menegaskan ia bersesuaian dengan fungsi kompleks berkenaan yang memayungi pelbagai operasi berkaitan Islamik.

Bagi idea rekaan bangunan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula diilhamkan daripada cahaya lilin kerana fungsinya yang mempromosikan Malaysia ke mata dunia.

Secara peribadi, Ar Hud berpendapat, MITI menjelajah ke luar negara demi mendapatkan peluang perniagaan dan pelaburan ke Malaysia.

Jadi, rekaan bangunan ini membawa simbolik MITI berfungsi seperti lilin menerangi dan menunjukkan laluan yang gelap menuju ke destinasi tepat.

Selain itu, Ar Hud turut berkata, keunikan bangunan terletak pada ‘jiwa’ dan karakternya sama ada dari segi fizikal mahupun dalam yang merujuk kepada operasi dan fungsinya.

Katanya, bangunan yang memiliki ‘jiwa’ mahupun karakter sering berjaya memancing tumpuan ramai kerana ia mempunyai karisma dan aura tersendiri malah rekaannya jauh lebih matang.

Mengulas mengenai perkembangan pembangunan menara pencakar langit di Malaysia, Ar Hud menyifatkan hari ini adalah fasa ‘bertenang’ dan dijangka kembali rancak menjelang penghujung 2019.

Jelasnya, faktor peningkatan projek bangunan tinggi merangkumi kos yang besar dan wujudnya permintaan pasaran. Ketiadaan permintaan yang merujuk kepada fungsi pejabat mahupun kediaman mempengaruhi industri.

Namun, beliau juga tidak menafikan perkembangan teknologi terkini dalam dunia seni bina turut merancakkan kembali permintaan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 3:20 PM