Skip this ad x
Susunan Hafiz Ithnin


BERMAIN dengan ruang dan menonjolkan konsep seni bina yang berbeza serta unik adalah antara perkara yang sentiasa bermain di fikiran arkitek bagi memastikan sentuhan mereka dapat memberi kepuasan kepada pemilik atau menjadi bualan pemain industri.

Arkitek Mary Arnold-Forster yang berpangkalan di Scotland baru-baru ini menghasilkan rumah yang dinamakan Black Shed berteraskan tin hitam di bahagian luar dan mengadunkan konsep kayu daripada pohon douglas di dalamnya.

Idea menghasilkan kediaman itu diambil daripada konsep tempat berlindung tradisional petani dan haiwan ternakan di Scotland yang mempunyai persekitaran dalaman sesuai dengan keadaan cuaca buruk.

Kediaman itu yang terletak di pekan Heaste mengetengahkan suasana dalaman yang tenang, senyap dan mempunyai keseronokan tersendiri untuk penghuninya yang menggemari elemen berkenaan.


KEKEMASAN penggunaan kayu pokok douglas sebagai dinding dan siling menyerlahkan ruang yang luas kediaman.

Black Shed yang dibahagikan kepada dua bahagian kelihatan unik kerana bahagian pertamanya terdiri daripada ruang utama digabungkan dengan bahagian kedua yang mempunyai sebuah studio.

Meskipun kediaman itu mempunyai dua bahagian yang digabungkan menerusi tangga dengan bahagian utamanya terletak lebih rendah daripada studio, namun dari pandangan luar ia kelihatan seperti rumah setingkat.

Bahagian utamanya mempunyai fungsi ruang yang ringkas iaitu ruang tamu, tempat makan dan bahagian dapur yang mengasingkan ruang kedua studio menempatkan ruang rehat.

Mengetengahkan konsep dapur dan ruang tamu terbuka tidak membangkitkan rasa janggal kerana kedudukan tempat memasak, sinki dan ketuhar pasang siap disusun rapi dan tidak serabut.


BILIK tidur utama kelihatan lebih luas dengan penataan warna bilik yang terang.

Bahagian studio itu terletak lebih tinggi dari bahagian utama yang mempunyai bilik utama, bilik mandi dan ruang meja. Bilik kedua dan bilik mandi pula terletak di aras bawah.

Menggunakan material pohon douglas sebagai bahan asas hiasan dalaman yang berwarna coklat terang membantu menjadikan kediaman itu bukan sahaja kelihatan luas, malah mencerminkan adunan alam semula jadi yang begitu baik.

Kekemasan penggunaan bahan itu bermula dari lantai sehingga siling di bahagian bilik tidur terutama menonjolkan konsep kediaman yang menarik meskipun menonjolkan satu warna sahaja.

Di bahagian bilik juga kelihatan arkitek bijak menggunakan ruang terhad dengan menempatkan perabot pasang siap seperti katil, tempat menyimpan pakaian dan meja yang juga menggunakan kayu pokok douglas.


PERABOT siap dibina di bilik kedua yang menarik.

Kediaman ini yang mengetengahkan konsep kedamaian ditonjolkan secara jelas apabila arkitek turut membina beberapa rak buku di ruang tertentu dengan skala yang agak besar.

Malah, ruang yang menempatkan rak buku dan tempat menyimpan pakaian itu juga adalah laluan ke pintu kediaman yang menggunakan cermin telus, sekali gus menjadikan bahagian itu mampu menjadi daya tarikan apabila masuk ke rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 4:30 AM