ZULKIFLI menunjukkan produk yang dihasilkan. FOTO: Hafiz Sohaimi
Nurul Husna Mahmud


AKSESORI hiasan seperti cermin, pasu bunga, kusyen sofa dan kaki lilin mampu memberi kelainan gaya dalam dekorasi.

Malah, cita rasa berbeza membuatkan aksesori hiasan direka khas untuk pemilik kediaman itu sendiri.

Terkini, ukiran daripada logam antara produk kraf yang kian mendapat tempat dalam kalangan peminat hiasan dalaman.

Menurut pengasas yang juga pengarah Borneo Metal Art, Zulkifli Sahak, sebagai pendatang baharu dalam perniagaan kraf, dia perlu mencari kelainan dalam produk yang boleh diketengahkan.

Katanya, dengan segmen teknologi plasma iaitu Computer Numerical Control (CNC), mesin khas yang dikawal menerusi komputer memudahkan material logam dikendali untuk menghasilkan ukiran menarik.

“Pada awalnya teknologi ini sering kali digunakan dalam industri berat seperti pembuatan kapal, jentera berat sehinggalah kepada kenderaan. Kini menggunakan konsep sama tetapi pemotongan berskala kecil dan halus untuk aksesori hiasan dalaman.

“Saya banyak hasilkan perincian hiasan yang sesuai untuk masjid, rumah dan kafe.

“Projek terbesar pernah kami kendalikan ialah projek Masjid di Kuching, Sarawak membabitkan perincian atau hiasan di penghadang ruang dalam masjid, pintu gerbang dan ruang mihrab.

“Rekaan tentu saja potongan ayat suci al-Quran dan motif geometri selain elemen yang sesuai untuk konsep Islamik.

“Kelebihan menggunakan material dan genre hiasan sebegini ialah motif ditonjolkan tampak mampan selain logam digunakan berkilauan sebaik terkena cahaya.

“Secara semula jadi ia menyerlahkan nilai estetika ruang terbabit selain menarik perhatian orang untuk memandangnya,” katanya.

Berkenaan kelebihan menggunakan teknologi dan perkhidmatan rekaan khas kata Zulkifli, anda boleh memilih rekaan yang diinginkan mengikut bajet.

“Harga untuk memiliki aksesori hiasan rekaan khas biasanya lebih tinggi berbanding dengan produk sedia ada. Tetapi seperti kata orang, alah membeli menang memakai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 4:30 AM