PERSEKITARAN sangat mendamaikan.
Nurul Husna Mahmud


PAKAR seni bina landskap dari Los Angeles, Amerika Syarikat, SWA Group menjayakan projek Yongtai membabitkan reka bentuk landskap kediaman yang terletak di dalam kawasan pemandangan Tebing Merah Fuzhou, bersempadan dengan Sungai Dazhang di tenggara China.

Lebih memfokuskan kepada aspek landskap, kompleks ini yang dibuat untuk Fuzhou Yongtai Youxin Real Estate meliputi kawasan berskala besar iaitu seluas 45 hektar yang turut dikelilingi 12 bukit kecil.

Lokasi itu juga mempunyai unsur air kuat kerana peranannya sebagai kawasan tadahan air bagi rantau itu dan menjadi inspirasi kepada keseluruhan rekaan yang dinamakan Fuzhou Lakeside Village itu.


GABUNGAN jambatan dan kawasan pejalan kaki bolehkan penghuni menikmati pemandangan sekitar tasik.

Kumpulan pereka yang bertanggungjawab dalam kluster perumahan berkenaan mengambil kira elemen penting yang diminta pelanggan supaya konsep bandar atau kompleks perumahan itu mengikut topografi tapak semula jadi.

Antara usaha dilakukan ialah dengan mengekalkan persekitaran termasuk pemandangan tebing merah Fuzhou dan tasik buatan manusia sedia ada di lokasi terbabit selain menambah unsur kehijauan di antara bangunan.

Tasik itu juga dipelihara dan menjadi pusat kepada plot yang digabungkan sebagai ruang awam utama untuk kompleks kediaman.


MENGEKALKAN elemen tradisi Cina menerusi bunga teratai sebagai tumbuhan hiasan

Ia bertindak sebagai titik fokus untuk reka bentuk, menyatukan tapak menerusi binaan jambatan yang juga dilihat antara perincian paling menonjol selain membantu mengintegrasikan semua unsur landskap yang terdapat dalam bandar baru berkenaan.

Jalan awam dan jambatan itu juga mewujudkan rangkaian laluan pejalan kaki moden dan berteres yang meningkatkan mobiliti sekitar kompleks selain menghubungkan penduduk dengan tasik itu.

Selain unsur kediaman, projek ini juga mempunyai hotel butik, kawasan membeli-belah dan rumah kelab untuk aktiviti sosial penduduk.

Projek berkenaan menerima anugerah The Honor Award The American Society of Landscape Architects (ASLA) pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 12:08 PM